DIALOGUE
Monolog Seorang Kritikawan
Mohd Jamizal Zainol

Ah! Aku mendengus sendirian. Mengapa mataku tidak mahu berlabuh. Jam klasik yang aku beli di Prapat Medan baru-baru ini sudah menunjukkan pukul satu soro. Tidak pernah hatiku begini kegusarannya. Penuh dengan emosi, amarah dan hairan. Mengapa petang tadi aku terbaca suatu pojok di koran Inggeris harian yang begitu menyakitkan. Petah sahaja aku tidak membelinya, tetapi apakan daya mataku terpandang jua artikel jelek itu.

Ah! Mana mungkin seorang pemegang sarjana phD merangkap seorang Muslim tergamak menulis sedemikian. Aku tidak percaya sama sekali. Mungkin mataku ini tersilap pandang atau mungkin kotak mindaku ini tersalah proses maklumat lalu menanggapi baris-baris ayat itu dengan kefahaman yang jauh sekali tersasar dari maksud penulis. Mungkin aku perlu melihat dengan lebih teliti dengan teropong mindaku. “…The fact that the Prophet had several wives and was known to HAVE HAD SEXUAL RELATIONS with 15 women, which included the CONCUBINE Rayhana who remained non-Muslim all her life is proof of the humanity of the Prophet”. Biar benar, tersalah cetakkah koran hari ini ataupun aku yang tersilap pembacaan. Pernah seorang sahabatku yang mengaji Pengajian Bahasa Inggeris yang menasihatiku supaya jangan menanggapi suatu baris ayat berbahasa Inggeris kedalam makna Bahasa Melayu, kerna mungkin berbeda makna dan kesusilaan maksudnya.

Jika diterjemah ke dalam Bahasa Melayu apa maksudnya pula. “Fakta bahawa nabi mempunyai beberapa orang isteri dan diketahui telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang gundik bernama Rayhana yang tidak islam sehingga akhir hayatnya adalah bukti mengenai sifat kemanusiaan nabi”. Apa maksud penulisan ini? Adakah ingin memberi kritikan membina atau menghina nabi? Cis! Tak mungkin aku tersilap terjemah . Penguasaan bahasa Inggerisku bukan calang-calang jika tidak mana mungkin aku lulus cemerlang dari fakulti undang-undang di sebuah pondok moden di tempatku. Tiga baris ayat yang menanggapi nabi sebagai manusia biasa yang mempunyai hubungan seks dengan 15 wanita lain tanpa nikah. Apa maksudnya? Maksudnya nabi adalah seorang PENZINA! Masyallah, tergamak penulis yang menggelarkan dirinya sebagai intelektual Islam ini melontarkan fitnah terhadap nabi yang ma’sum. Aku diajar sejak dari kecil lagi bahawa nabi Muhammad itu ma’sum bebas dari segala dosa dan bebas daripada sifat kejelekan manusia biasa. Baginda diangkat darjatnnya sebagai seorang Rasul yang menjadi ikutan umat manusia. Perbuatannya, perkataannya dan taqrirnya adalah sunnah.

Di mana sang penulis ini mendapatkan baris-baris ayat tersebut. Sebutkan dari kitab mana? Dari koran mana? Dari buku mana? Dari tesis siapa? Dari artikel mana?Sebutkan wahai sang penulis. Hatiku terus memuntahkan persoalan-persoalan mujarad dengan harapan hatiku jua akan terus menjawab persoalan tersebut. Sedih sekali jika intelektual muslim ini menjadikan karya Armstrong ataupun orientalis lain yang berjinak-jinak menulis perihal nabi dijadikan otoriti untuk menulis baris-baris ayat tersebut. Tiadakah kitab-kitab ilmuwan Islam atau sejarawan Islam yang muktabar yang boleh dijadikan panduan menulis perihal nabi. Kitab Sirah Haekal setidak-tidaknya bagi sang penulis ini yang mungkin tidak memahami bahasa Arab ataupun terjemahan sirah nabi ke dalam bahasa Melayu karya Ramadhan Al-Buti .Persetankan karya sirah berbahasa Arab lain, yang mungkin tidak mampu difahami oleh penulis ini yang kononnya seorang intelektual Muslim. Setidak-tidaknya seorang intelektual Muslim seperti sang penulis ini sudah meneroka karya-karya perihal nabi di dalam bahasa Melayu sebelum menulis perihal nabi.

Aku juga seorang intelektual, apa buku yang aku tidak baca dari Harold Bloom sehinggalah ke Salma Rushdie, semuanya sudah menjadi juadah makanan minda ku. Karangan Conrad, Borges, Gabriel Garcia Marquez, Italo Calvino telah menjadi sebutan ku dan karya mereka aku ‘telaah’ sepanjang pengajianku di menara gading. Karya para teologis seperti Augustinus, John Calvin dan banyak lagi. Pemikitan mereka sudah ku tekuni. Aku juga seorang pengkaji Barat, sekurang-kurangnya aku mengkaji pemikiran mereka. Penulisan Maurice Bauqille misalnya sudah ku baca semenjak dari pengajian di sekolah menengah lagi.Falsafah Greek dan Barat karya Bertland Russell yang harganya RM57.00 aku beli di Kinokuniya telah ku tekuni dan habiskan dengan penuh selera. Alhamdulillah, keimananku pada aqidah Islamku bertambah kokoh dan tidak pernah terusik walau sedikit pun. Malah aku lebih mengagumi Islam dan keindahannya lebih dari dahulu. Kadangkala aku lebih memahami Al-Quran selepas menelaah buku-buku tersebut kerana Barat sudahlama merungkai rahsia-rahsia Al-Quran melalui penulisan mereka yang tidak bertentangan dengan maksud dan nilai kalam Allah itu.

Sepanjang hayatku tidak pernah aku terbaca baris-baris ayat yang menggambarkan Rasulullah sebagai seorang penzina seperti apa yang dicoretkan oleh Sang Penulis ini. Jika tuduhan itu dilontarkan oleh para orientalis ia tidak mengundang kehairanan ku tetapi apabila seorang intelektual Muslim melakukan perkara sama aku tidak dapat menerima kenyataan ini. Penulisan ini sangat biadap terhadap agama sendiri dan menjadi musuh dalam selimut kepada umat Islam. Penghinaan terhadap ulama, dan meminggirkan ulama dari gelanggang masyarakat tak ubah seperti gerakkan sekularisasi yang terjadi kepada pihak gereja di Barat. Kini ianya berlaku pula dalam agama Islam. Benar sekali apa yang dicoretkan oleh Syed Naquib Al-Atas dalam karya besarnya Islam and Secularism yang mengungkapkan "secularization is defined as the deliverance of man ‘first from religious and then from metaphysical control over his reason and his language”. Sang penulis seperti sudah lupa dengan rukun iman yang enam, beriman ke pada para nabi dan Rasul. Beriman kepada nabi dan Rasul ialah mengimani sifat-sifat nabi sebagai amanah , tablig, fatanah dan Siddiq. Mengimani nabi sebagai ma’sum bebas dari segala dosa. Tidak tahu atau pura-pura tidak tahu wahai sang penulis intelektual muslim, getus hatiku. Peristiwa israk mikraj, sebelum nabi diangkat ke sidratul muntaha, Jibril sekali membelah dada nabi bagi membersihkan hatinya dari segala kotoran hitam dan dosa.Nabi adalah ma’sum! Siapa berani mengatakan nabi itu pembuat maksiat dan penzina! Tulisan oleh sang Dr. ini sudah tidak berpijak dan berpaksikan budaya Ilmu Islam tetapi lebih kepada rasional yang diluar batasan.

Aku membelek lagi karya Syed Naquib ,ujarnya lagi.”It is the loosing of the world from religious and quasi-religious understandings of itself, the dispelling of all closed world views, the breaking of all supernatural myths and sacred symbols… the ‘defatalization of history’. The discovery by man that he has been left with the world of his hands, that he can no longer blame fortune or the furies for what he does with it…Secularization encompasses not only the political and social aspects of life, but also inevitably the cultural, for it denotes the disappearance of religious determination of the symbols of cultural integration…It is a liberating development and the end product of secularization is historical relativism”.

Ya, aku mulai memahami inilah yang dikatakan sekularisasi, apabila akal sudah menang terhadap hati dan kalbu(iman). Akal boleh berfikir sebebas-bebasnya. Sudah boleh menandingi kebijaksanaan tuhan. Sudah berani mempertikaikan kejadian tuhan dan sudah petah melecehkan pesuruhnya. Memang benar agama dan falsafah ialah dua bidang ilmu yang harus ditekuni manusia. Bagi yang ada agama, agamalah yang menjadi panduan dan pegangan hidupmya. Tetapi bagi atheis tidak mahu beriman falsafah dan empiris itulah menjadi panduan hidupnya. Benar sekali kata HAMKA, sebagai intelektual Muslim kedua-duanya perlu dikuasai tetapi tidak sampai falsafah menguasai agama.

Ini tidak, sudah bijak, sang penulis sudah berani menghina Nabi. Sudah mengatakan kebenaran itu sebagai perkara relatif, semuanya benar dan terpulang kepada individu menanggapi kebenarannya sendiri. Sudah ‘mati’ kebenaran hakiki. Hanya akal yang berkuasa. Pergaduhan akal dan hati berterusan. Kadangkala menang akal kadangkala menang hati. Penulisan sang penulis tak ubah seperti penulisan Salman Rushidie dan Taslima Nasrin. Aku tidak berani menghukum tetapi itulah kenyataan yang ada.

Apa salahnya mencontohi sikap Naipaul yang mengkaji dahulu tentang umat Islam dan cara hidupnya tetapi tidak pula terang-terangan menghina Islam malah memberi hormat kepada semua agama. Lihatlah sikapnya di dalam buku Beyond Belief karangannya yang tidak secara terang-terangan menghina Islam walaupun adakalanya agak skeptikal terhadap Islam.Berbeda sekali dengan sang Dr. ini yang agamanya Islam tetapi tergamak menuduh Nabi sebagai penzina. Lagaknya seperti golongan sofis sebelum Socrates yang mengatakan kebenaran itu relatif, bermuka-muka demi mendapatkan kesukaan para pemerintah. Nasib baik the three gangs penyelamat pada masa itu Socrates, Plato dan Aristotle dengan tangkas menyatakan buah fikiran mereka bahawa ada kebenaran yang hakiki.

Aku gusar jika pengaruh sekularis seperti ini mula menguasai pemikiran anak-anak muda. Berapa ramai remaja yang membaca koran tersebut akan terpengaruh terutama dengan penulisan otoritatif oleh penulis bergelar Dr. ini. Takut-takut hujahannya dijadikan dalil dan otoriti mereka berhujah. Selepas ini kita jangan terkejut apabila mendengar frasa ini “Wah Nabi pun boleh berhubungan seks dengan 15 wanita, apa salahnya kita 30 wanita rasanya tidak menjadi salah kerana itukan sunnah Nabi perhubungan dengan 15 wanita tanpa nikah, sunnah Nabi itukan pahala…”

Tiba-tiba sahaja hatiku senyap…rupanya aku sudah dibuai mimpi…

 
   
   
   
   
                   
 

© 2001-2002 SuaraAnum.com Designed by 9599inc
SuaraAnum.com is a project by the Publications Bureau, Unit Pendidikan Politik - Institut Kajian Dasar (Political Education Unit - Institute for Policy Research).
Opinions and views reflect those of the writers only.

SuaraAnum.com is a webzine published by young Malaysian writers twice a month. Interested to contribute? You must be under 35. Send your articles to editor@suaraanum.com