Sejarah Tercipta Di UIAM
Mohd Jamizal Zainol

Sebenarnya jika dikatakan mahasiswa itu lesu, rata-ratanya penulis tidak bersetuju memandangkan si pengucapnya mungkin menafsirkan lesu itu dari perpektifnya sahaja. Lesu mungkin bermaksud tidak lagi mengambil sikap berdemonstrasi dan menyuarakan pandangan pedas dan kritikal di pentas-pentas pidato yang terbuka tetapi ini tidak bermakna mahasiswa sudah mati aktivismenya. Tambahan pula dengan modul pihak pemerintah yang agak keras akhir-akhir ini.

Apakah tidak ada alternatif lain untuk mahasiswa menyuarakan pendapat dan pemikirannya? Adakah hanya dengan berdemonstari melambangkan kehebatan dan aktivisme mahasiswa? Tentunya tidak, jika diteliti sejarah Greek dahulu, filasuf ulung Socrates misalnya mengembangkan idea wujudnya kebenaran yang hakiki melalui kaedah dialektika apabila sekatan pihak pemerintah yang begiti ketat apatah lagi dengan pengembangan idea-idea baru yang mengugat kekuasaan 'establishment'. Suatu kaedah 'halaqah' atau kumpulan-kumpulan kecil dibentuk bersama dengan pemuda-pemuda Athens untuk menyampaikan ideanya itu. Akhirnya idea itu diterima dan diteruskan oleh para muridnya seperti Plato dan Aristotle.

Sehubungan dengan itu, sekalung tahniah patut diberikan kepada sekumpulan pelajar UIAM yang telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan debat peradaban antara Islam dan Barat. Pada 4 Oktober yang lepas Biro Pendidikan Majlis Perwakilan Pelajar UIAM telah menganjurkan debat antara tamadun yang pokok perbincangan berkisar kepada Sains dan Metafizik dari Kacamata Islam dan Barat. Tamadun Barat diwakili oleh Prof. Toby E Huff seorang tenaga pengajar di Universiti Massachussets Amerika Syarikat dan Prof. Madya Dr. Ibrahim Zein ,pensyarah di Jabatan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Perbincangan menjadi lebih menarik apabila Pro.Madya Ibrahim Zein ialah salah seorang intelektual yang membantah artikel Prof Toby Huff "The History of Metaphysics and Sciences in The Three Abrahamic Religion" disiarkan di salah sebuah jurnal tersohor di UIA.

Program ini menempa sejarahnya yang tersendiri apabila ratusan pelajar menyerbu dewan eksperimen bagi mengikuti debat tersebut. Walaupun peperiksaan akhir hanya beberapa hari saja lagi tetapi kehadiran yang begitu ramai (terutama bagi majlis-majlis ilmu seperti ini) menimbulkan kehairanan pihak penganjur. Mungkin iklannya yang agak sensasi yang turut menyentuh peristiwa 11 September memberikan impak dan tarikan kepada para pelajar untuk menyerbu dewan pada malam itu.

Dialog ini bertujuan membuka minda para pelajar mengenai perpektif Barat terhadap sains dan metafizika dan bagaimana Islam menafsirkan dua cabang ilmu tersebut. Mungkin pandangan yang skeptikal oleh Prof Dr Toby Huff di dalam bukunya The Rise of Early Modern Science: The West, Islam and China menarik untuk dianalisis . Beliau mengatakan walaupun ilmu pengetahuan tingi terutamanya ilmu sains dan matematik bermula di kalangan ilmuwan Islam misalnya Al-Khawarizmi, Al-Biruni dan Ibn Sina berbanding Barat tetapi akhirnya pada zaman sekarang di awal abad ke -21 , Barat terus memacu pembangunan ilmu dan intelektual berbanding dengan umat Islam penciptaan alatan-alatan moden yang canggih dan sofistikated dan tidak dapat ditandingi oleh tamadun-tamadun lain sekarang ini. Rahsianya menurut beliau adalah rasa ingin tahu Barat yang tinggi dan inkuiri menyebabkan penelahan dan analisis mereka berterusan dan tidak henti-henti dilakukan tanpa jemu. Mereka memandang agama sebagai suatu yang dogmatik dan boleh dianalisis melalui kekuatan akal dan perasaan.Kekuatan akal mereka dijana bagi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada tamadun barat.

Berbanding Umat Islam selepas kejatuhan Turki Uthmaniyah perbincangan dan 'struggle' umat Islam lebih kepada isu-isu politik yang melempang dan merosakkan keilmuwan umat Islam sendiri. Misalnya penulisan-penulisan yang membincangkan isu-isu sains dan falsafah begitu naïf pada masa itu berbanding dengan buku-buku bersifat politik yang bercambah. Misalnya penulisan Ali Abdul Raziq seorang murid setia Muhammad Abduh yang ditulis selepas kejatuhan Turki Uthmaniyah banyak berkisar mengenai pembicaraannya sama ada Rasulullah bertindak sebagai seorang raja atau seorang Rasul. Jika Rasulullah diutuskan hanya sebagai Rasul dan penerus risalah kenabian maka menegakkan sebuah Daulah Islamiyah tidaklah menjadi suatu kewajipan ke atas seorang Muslim kerana bukan sifat Nabi sebagai seorang raja atau pemerintah. Pembicaraan seperti ini meninggalkan impak yang besar kepada intelektual Al-Azhar di mana beliau dipecat daripada institusi tersebut angkara penulisannya yang kontroversial ini. Untuk pengetahuan lebih lanjut pembaca boleh meneliti artikel beliau "The Caliphate and the Bases Of Power" iaitu salah satu artikel yang dikumpulkan di dalam buku "Islam In Transition: Muslim Perpectives" diselenggarakan oleh John L.Esposito.

Dialog yang bersifat serampang dua mata ini bertujuan untuk membongkar kembali tradisi intelektual di pusat pengajian tinggi melalui perdebatan dan perbincangan ilmiah yang sihat terutama yang menyentuh isu-isu falsafah yang menjadi tunjang kepada perkembangan idea-idea semasa dan tidak dilupakan merapatkan perhubungan di antara tamadun Barat dan Islam. Kemajuan Sains di Barat menyebabkan bangsa Eropah berjaya menjajah negara-negara Islam, bangsa Inggeris sudah sampai di Afganistan, Perancis sudah merampas Tunisia. Pada hakikatnya penjajahan ini bukanlah disebabkan oleh bangsa tersebut semata-mata tetapi hasil daripada kemajuan sains dan teknologi yang dimiliki mereka. Sayyid Jamaluddin Al-Afgahani di dalam artikelnya " An Islamic Response to Imperialism" menghuraikan dengan lebih jelas peri pentingnnya falsafah dan sains demi kemajuan manusia. Menurut beliau "kekayaan di dunia ini terhasil daripada perdagangan, industri dan pertanian. Pertanian hanya akan berjaya melalui sains pertanian, sains botani dan geometri. Industri hanya akan berjaya melalui penguasaan ilmu fizik, kimia, mekanik,geometri dan matematik manakala perdagangan dipacu oleh penguasaan ilmu pertanian dan industri."

Kenyatan diatas adalah bukti jelas kemajuan berpunca daripada penguasaan ilmu sains dan teknologi. Pendek kata dunia ini adalah dunia yang dikuasai oleh sains dan siapa yang menguasainya akan berjaya dan maju. Tetapi sains yang mempunyai kesan yang lengkap bagi kejiwaan ialah sains falsafah atau 'philosophy', kerana ruang lingkup perbincangannya begitu universal. Falsafah memandu manusia kepada kehendak manusia dan juga meletakkan ilmu sains itu ditempatnya. Jika sesuatu komuniti itu tidak ada pemahaman falsafah yang unggul dalam masa yang sama komuniti itu berjaya didalam suatu bidang sains, tidak mungkin sama sekali ilmu sains itu akan kekal sehingga beabad-abad lamanya. Komuniti yang tidak ada semangat falsafah tidak dapat membuat kesimpulan dan deduksi daripada ilmu-imu sains tersebut. Misal yang paling baik ialah kerajaan Uthmaniyah dan Khedivate di Mesir. Di kedua-dua kerajan itu dahulu sudah dibuka sekolah-sekolah untuk pengajaran ilmu-ilmu sains moden selama 60 tahun dan hasilnya tidaklah begitu memuaskan apabila tidak ada sebarang kemajuan sains yang terhasil kerana tiadanya pengajian falsafah sains bersama.

Hasil daripada program tersebut rata-rata pelajar memberi komen mendapat banyak manfaat daripadanya terutama pandangan ahli akademia Barat terhadap Islam. Bolehlah disimpukan bahawa penguasaan ilmu sains bersama dengan kefahaman falsafah ialah raison d'etre kepada kemajuan bangsa dan umat Islam. Mungkin suatu hari nanti kita dapat melihat semula umat Islam yang sangat cintakan ilmu pengetahuan seperti suatu masa dahulu. Pernah dinukilkan seorang menteri Khalifah enggan berpindah ke Parsi untuk bertugas disana gara-gara dia memerlukan 400 unta untuk mengangkat segala buku-bukunya ke sana. Tanpa mesin taip atau komputer Al-Tabari mampu menulis 40 mukasurat sehari bagi menyiapkan 30 volum tafsirnya yang terkenal Tafsir At-Tabari. Al-Masudi menghabiskan sisa-sisa hidupnya selama 10 tahun bagi menyiapkan sebuah buku sejarah sebanyak 30 volum "The Meadows of Gold". Syaratnya tidak mudah : umat Islam harus menekuni ilmu pengetahuan dan memperbanyakkan perbincangan imu pengetahuan terutama semasa suasana yang mendesak sekarang.

 
   
   
   
   
                   
 

© 2001 SuaraAnum.com Designed by 9599inc
SuaraAnum.com is a project by the Publications Bureau, Unit Pendidikan Politik - Institut Kajian Dasar (Political Education Unit - Institute for Policy Research).
Opinions and views reflect those of the writers only.

SuaraAnum.com is a monthly webzine published by young Malaysian writers. Interested to contribute? You must be under 35. Send your articles to editor@suaraanum.com