![]() |
|||||||||
|
YOUTH.TALKS Saya
pasti pembaca setia Iyalah, ini pertama kali ruangan ini dirakam di dalam Bahasa Melayu. Saudara CK Tan dengan kolum Tan's Cornernya mendahului saya di dalam usaha ini! Kebetulan edisi ini saya menulis di dalam Bahasa Melayu, saya ingin menulis mengenai M. Nasir - penyanyi yang cukup terkenal di negara kita.
Apa yang menarik bagi saya - ketika itu seorang pelajar dua belas tahun yang telah membesar membaca Enid Blyton, dan mendengar lagu-lagu rap KRU, ialah muzik yang dibawa oleh M. Nasir. Muzik tradisional Melayu bukannya asing, namun jarang sekali rasanya seorang penyanyi tempatan dapat mengadunkan irama Melayu dengan irama-irama budaya-budaya lain di Nusantara, China dan Timur Tengah dengan mutu yang tinggi dan gaya yang cukup mempesonakan sebagaimana yang beliau lakukan! Dan kini, hampir sedekad sudah berlalu namun minat saya terhadap muzik M. Nasir tidak lenyap sama sekali. Ketika negara kita dipenuhi dengan penyanyi-penyanyi dangdut yang cuma tahu menarik pendengar dengan sexual undertones yang tanpa segan silu, lagu-lagu cinta komersial sama ada yang cuma mencedok budaya luar bulat-bulat atau memainkan irama tradisional Melayu dengan hambar - M. Nasir tampil sebagai seorang tokoh yang menyanyikan lagu yang penuh dengan mesej dan intipati kerohanian yang mendalam. M. Nasir seorang seniman sejati. Beliau sendiri seorang lulusan di dalam bidang seni lukis dari negara asalnya Singapura dan kini beliau masih melukis kiranya ada masa. Gaya pemakaiannya cukup bersahaja tetapi menarik dan meskipun album-albumnya mencatat jualan yang laris, muziknya lebih daripada usaha komersial semata-mata, tetapi juga satu manifesti kesenian. Yang menarik ialah paradoks bagaimana M. Nasir sendiri menulis lirik buat penyanyi-penyanyi kontemporari tempatan lain yang lebih dikenali sebagai penyanyi komersial biasa. M. Nasir juga seorang pelakon dan pengarah, meskipun saya mesti mengakui saya mendapati lakonan dan filem-filemnya cumalah persembahan biasa artis tempatan dan tidak menonjol jika dibandingkan dengan seni muziknya. "Siapa Mahathir," itulah kononnya ungkapan M. Nasir suatu ketika dahulu yang telah menjebakkan beliau ke dalam kancah kontroversi. Bagaimana suatu statemen begitu dapat menjadi kontroversial di dalam negara kita menggambarkan betapa ceteknya budaya politik pihak kerajaan kita! Tetapi M. Nasir bukanlah tokoh yang segan dari publisiti yang kontroversial - beliau sering dianggap sebagai seorang seniman yang sombong dan mencemuh rakan-rakan artisnya. Sombong atau tidak, tiada siapa dapat menafikan kualiti lagu-lagunya. Ketika menjawab temubual sebuah majalah agama baru-baru ini, M. Nasir menyatakan hasratnya untuk menyampaikan mesej kerohanian di dalam lagu-lagunya. Mungkin tidak ramai dapat memahaminya - lagu-lagunya jauh berbeza dengan nasyid yang dipopularkan oleh Raihan (dan turut diminati saya). Tetapi lihat dengan lebih teliti lagu-lagunya dan anda akan melihat pengaruh kesufian yang ketara. Lagu Ghazal Untuk Rabiah dimana beliau berduet dengan Jamal Abdillah, misalnya menceritakan kisah Rabiah Adawiyah, tokoh sufi wanita unggul Islam. Lagu Kias Fansuri pula mengenai Hamzah Fansuri, tokoh sufi Acheh manakala lagu Andalusia menggambarkan kehebatan Tamadun Islam di Andalus, Sepanyol. Ramai
bertanya, namun mengapa kadangkala corak persembahan M. Nasir tidak menggambarkan
hasratnya untuk menyampaikan mesej kerohanian yang didakwanya? Bagi M.
Nasir, itulah hakikat dunia muzik yang harus ditempuhi oleh artis jika
mahu laku di mainstream hari ni. Situasinya tidak ubah seperti
kumpulan radikal Rage Against The Machine yang mencemuh sistem
kapitalis masyarakat tetapi memasarkan album mereka dengan Sony Music!
Tetapi, gaya penampilan kumpulan-kumpulan nasyid sekalipun, walau lebih
terjaga daripada M. Nasir, turut mendapat kritikan dari sesetengah pihak.
Yang nyatanya, lagu-lagunya memang membawa mesej yang mendalam dan berlainan
dengan apa yang ditawarkan penyanyi tempatan lain. Tahun lepas, isteri beliau, Marlia Musa dijemput ke pertandingan drama bangsawan yang mana saya salah seorang pengarahnya. Meskipun agak kecewa dengan drama bangsawan arahan saya yang gagal mengaut satu pun daripada sebelas anugerah yang dipertandingkan, kesedihan saya terubat dengan kehadiran M. Nasir. Ketika ramai menuduhnya sebagai seorang artis sombong, beliau melayan kerenah penonton yang meminta beliau menyanyi - dan beliau mempersembahkan lagu-lagunya, tanpa bayaran, dengan gitar kapok milik pelajar di kolej saya dan suaranya benar-benar tidak ubah seperti apa yang kita dengari di radio atau televisyen! Di zaman MTV di mana artis cuma tahu menyanyi di studio atau miming di pentas dan memikirkan wang ringgit semata-mata, M. Nasir menunjukkan seniman tulen belum pupus di negara kita! NIK NAZMI NIK AHMAD cuma seorang pendengar muzik biasa. Karya-karyanya boleh dibaca di laman webnya. |
|||||||||
|
©
2001-2002 SuaraAnum.com
Designed by 9599inc SuaraAnum.com is a monthly webzine published by young Malaysian writers. Interested to contribute? You must be under 35. Send your articles to editor@suaraanum.com |
|||||||||