
Siti Nurhaliza buat pertama kalinya mengadakan konsert secara besar-besaran iaitu pada tahun 1999 yang dinamakan sebagai Konsert 'LIVE' Siti Nurhaliza, dalam usia 3 tahun keberadaannya didalam bidang seni. Sesuatu yang boleh dikatakan impresif kerana Siti hanya memerlukan masa 3 tahun untuk mengadakan konsert solo secara besar-besaran dan mendapat sambutan. Siti seterusnya terus menyerlah dipentas konsert dengan Konsert Mega Siti Nurhaliza yang diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Jun 2001. Konsert yang berharga lebih RM 1 juta mempertontonkan Siti melakukan 'penerbangan' dengan menggunakan tali sebelum mendendangkan Lakaran Kehidupan.
Selain konsert yang menyanyikan lagu-lagu dendangannya sendiri, Siti juga sudah mengadakan konsert tribute untuk Allahyarham Dato' Sudirman Haji Arshad dalam Konsert Salam Terakhir Siti Nurhaliza Untukmu Sudir pada 2002 dan Konsert Istana Cinta untuk P. Ramlee dan Saloma pada 2007, dan kedua-duanya diadakan di Istana Budaya.
Sebelum mencipta sejarah yang lebih besar, Siti terlebih dahulu mencipta sejarah melalui Siti Nurhaliza Fantasia Tour 2004 di mana Siti mengadakan konsert jelajah di 14 buah lokasi seluruh Malaysia dan seterusnya mengadakan Siti Nurhaliza Indonesia Tour pada tahun yang sama, sebelum kembali bertukus lumus menjalani latihan untuk konsert solo yang dinamakan Siti Nurhaliza In Concert, Royal Albert Hall, London dimana Siti mengalunkan lebih 30 buah lagu pada malam konsert yang penuh bersejarah itu didewan berprestij dunia, Dewan DiRaja Albert, London. Ianya bertambah bermakna apabila bertepatan dengan tarikh 1 April 2005 dimana Siti turut menyambut ulang tahun ke-10 kariernya di dalam bidang seni.
Konsert di London adalah konsert yang terakhir diadakan Siti sebelum berkahwin. Kepopularitian Siti tidak pudar begitu sahaja apabila konsert seterusnya selepas berkahwin seperti Konsert Penghargaan untuk pengguna Olay Total Effects mendapat sambutan di luar dugaan. Begitu juga untuk tahun 2009, Siti mempersembahkan Konsert Satu di Istana Budaya pada Jun lepas, juga konsert Seribu Warna pada November lalu, semuanya masih mendapat sambutan sama seperti sebelum beliau berkahwin.