Laman Seri Indah

Koleksi Puisi Warisan Bonda


Sekapur Sireh

Seulas Pinang  |  Renungan

Selamat Datang ke Laman Seri Indah.

Koleksi puisi dan syair yang ditampilkan di sini adalah hasil nukilan Zainon Omar, ibu kepada sembilan orang anak yang sungguh gigih menempuh pahit-getir dan liku-liku hidup yang penuh cabaran dan onak duri.

Gelaran 'Senduduk Desa' begitu sinonim dengan beliau. Anak kelahiran Linggi, Negeri Sembilan dan berusia 75 tahun ini hanya beroleh pendidikan di tahap sekolah rendah. Namun demikian beliau telah dianugerahkan Ilahi dengan keistimewaannya mencetuskan ilham dan daya imaginasi yang unik. Walaupun tidak dikenali umum, beliau disegani oleh segelintir masyarakat yang berpeluang mengenalinya. Kata-kata azimat yang disampaikan dalam puisi-puisi dan syair beliau membawa penuh erti yang mendalam jika diteliti sehalus-halusnya. Maka terciptalah hasil ilham yang memberangsangkan dan boleh dijadikan panduan dan nasihat bagi semua golongan masyarakat tidak kira usia tua dan muda dalam mengharungi kancah kehidupan yang semakin mencabar dewasa ini.

Sayugia itu, sebagai tanda penghargaan kepada bonda yang tercinta, lahirlah himpunan puisi dan syair sebagai nostalgia untuk tatapan pencinta seni sekelian agar dapat berkongsi bersama anugerah Ilahi ke atas beliau. Semoga anda beroleh munafaat dari nasihat-nasihat mahupun teguran membina yang dicoretkan oleh beliau melalui pengalaman hidupnya yang tidak ternilai ini.

Jutaan terima kasih kepada pengunjung yang meluangkan masa di Laman Seri Indah. Sokongan anda amat kami hargai. Sekiranya anda ingin memberikan pandangan atau komen, sila klik ruangan 'Jurnal' di atas, dituruti dengan klik 'Post Comment'. Seterusnya jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin menghubungi kami, sila klik ruangan 'Pertanyaan' di atas atau email terus kepada kami.

Editor.

Ke Laman Puisi                                                                  

  sejak 8 March 2006

Seulas Pinang

Untuk kenang-kenangan kepada anak-anakku, keturunanku, kaum-kerabatku, saudara-maraku, sahabat-handaiku terutama buat suamiku yang tercinta Osman.

Semoga himpunan sajak-sajak ini akan menjadi  khazanah buat anak-bangsa dan sebagai pusaka bangsa kepada generasi yang akan datang lagi terkemudian hinggalah berakhirnya tamaddun dunia yang fana.

Mudah-mudahan dapat diambil pengajaran dan iktibar akan erti kandungannya untuk membentuk keperibadian yang mulia, terpuji, gagah, berani, sabar, tabah, gigih, usaha dan tawakkal.

Salam hormat dari saya,

Zainon Omar

Renungan

Sebuah renungan dan secebis iktibar buat tatapan cucu-cucuku yang dikasihi semua..

Supaya merenung jauh kehadapan di hari ini tentang kehidupan di dunia yang kita duduki ini adalah tempat singgah sahaja sementara kita masih bernafas dan ingatlah perjalanan ini terlalu jauh rasanya tiada berkesudahan, dalam kita sedar ataupun di luar sedar.

Namun tiba-tiba kita sudah sampai ke penghujung jalannya maksudnya ialah tiap-tiap manusia itu dituntut dengan berbagai-bagai tanggungjawab kehidupan berbagai bentuk rupa dan warnanya. Sehingga kita tidak sedar yang kita belum sempat berbuat apa-apa tiba-tiba kita telah dipanggil pulang kepada yang empunya yang memiliki kita ialah Allah swt. Dari itu pandai-pandailah mengemudikan diri sebagai kapten mengemudikan kapal di tengah lautan luas ini supaya tidak terlanggar karang.

Sebelum itu beringat dan berjimat serta berusahalah mencari ilmu dan jalanilah kehidupan ini dengan tenang, sambil mencari nafkah hidup dan mengerjakan suruhan Allah dengan sebaik mungkin.

Zainon Omar

Disclaimer

Koleksi puisi dan syair ini adalah hasil karya Zainon Omar dan hakmilik peribadi beliau. Sebarang usaha untuk menerbit dan mencetak semula untuk tujuan komersil atau menyalahgunakan koleksi puisi dan syair beliau adalah dilarang sama sekali. Segala isi kandungan di dalam coretan puisi dan syair di sini adalah berdasarkan pengalaman peribadi beliau semata-mata. Justeru ianya tidak bertujuan untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak samada yang hidup ataupun mati.

Puisi   |   Syair   |   Tetamu   |    Jurnal    |    Pertanyaan 

Create a free website at Webs.com