Hasil Pena Dr. Omar

Islam itu Mudah!


Raya ikut Mekah atau Hari Bulan?

Soalan "Bilakah sepatutnya kita di Malaysia  menyambut hari raya haji, adakah ianya berdasarkan  "sehari selepas wukuf di Arafah" atau pada hari 10 Zulhijjah mengikut kalender. " sering ditanya.

Kes AidilAdha 1427: Wukuf di Mekah pada hari  Jumaat maka Hari Raya di Mekah jatuh pada hari Sabtu (waktu Mekah).
         Ketika wukuf tersebut, di Malaysia masih 8 Zulhijjah, maka kita menyambut raya pada hari Ahad (waktu Malaysia)


Bila ditanyai soalan ini kepada 'Ustaz' atau 'Tuan Guru' yang kurang menyelami hakikat alam, pasti jawapan mudah akan didapati iaitu, "demi kesatuan Ummah, semua umat islam seluruh dunia mesti berpuasa dan berhari-raya mengikut Mekah, Jadi kita patut raya hari Sabtu ".

Sebenarnya ia tidak semudah itu.

Jika kita katakan, kita mesti Raya pada hari yang sama dengan hari umat Islam di Mekah Raya, kita tidak mengambil kira hakikat alam bahawa adalah mustahil bagi setiap umat Islam di dunia ini menyambut raya pada hari  yang sama dengan Mekah. Hal ini hanya mungkin berlaku sekiranya seluruh dunia mempunyai hanya satu time zone, seluruh dunia menyambut waktu maghrib dan subuh pada ketika yang sama. Pastinya ini tidak masuk akal dan bercanggah dengan hakikat alam. 

Ini ialah kerana Hari dan tarikh adalah sesuatu yang 'artificial' yang ditetapkan oleh manusia secara mutlak. Manusia menetapkan garisan tarikh antarabangsa di satu garis bujur pada Lautan Pasifik. Di barat garisan tersebut, kita menganggap hari/tarikh  baru telah bermula manakala dalam masa yang sama, penduduk di Timur masih berada di 'hari sebelumnya'.
 
Jika hendak disamakan antara hari Raya di Mekah dan hari Raya di tempat lain di seluruh dunia, ia tidak mungkin kerana pada ketika Mekah berada pada hari Sabtu, tempat lain masih berada pada hari Jumaat, manakala ada tempat lain yang telah mendahului Mekah. Contohnya ketika jam pukul 1.00 pagi Sabtu di Mekah, jam umat Islam di Hawaii menunjukkan 12 tengahari Jumaat,  di California menunjukkan 2.00 ptg Jumaat manakala jam di Masjid Auckland di New Zealand sudah menunjukkan pukul 11 pagi Sabtu.  Ini bermakna jika umat Islam di Hawaii hendak menyambut serentak dengan sambutan di Mekah, mereka perlu menyambutnya pada hari Jumaat.

Jika umat Islam di Fiji hendak menyambutnya pada hari Sabtu, mereka akan bertakbir 10 jam lebih awal dari umat Islam Mekah. Ini juga sesuatu yang tidak menunjukkan 'kesatuan', sekiranya kita hendak menekankan bahawa "Kesatuan bermakna serentak".

'Kesatuan' yang sedemikian bersifat artificial dan tidak perlu digembar-gemburkan.

Tidak, perkara di atas tidak hanya bersumberkan logika akal.

Lihat hujjah dari hadis berikut:

Dari Kuraib : Sesungguhnya Ummu Fadl binti Al-Haarits telah mengutusnya menemui Mu'awiyah di Syam.

Berkata Kuraib: Lalu aku datang ke Syam, terus aku selesaikan semua keperluannya. Dan tampaklah oleh ku (bulan) Ramadhan, sedang aku masih di Syam, dan aku melihat hilal (Ramadhan) pada malam Juma'at. Kemudian aku datang ke Madinah pada akhir bulan (Ramadhan), lalu Abdullah bin Abbas bertanya ke padaku (tentang beberapa hal), kemudian ia menyebutkan tentang hilal, lalu ia bertanya: "Bila kamu melihat hilal (Ramadlan) ?. Aku menjawab: "Kami melihatnya pada malam Jum'at". Dia bertanya lagi: "Engkau melihatnya (sendiri) ?. Aku menjawab: "Ya ! Dan orang banyak juga melihatnya, lalu mereka puasa dan Mu'awiyah berpuasa".
Ibn Abbas berkata: "Tetapi kami melihatnya pada malam Sabtu, maka senantiasa kami berpuasa sampai kami sempurnakan tiga puluh hari, atau sampai kami melihat hilal (bulan Syawal)". Aku bertanya: "Apakah tidak cukup bagimu ru'yah (penglihatan) dan puasanya Mu'awiyah ? Ibn Abbas menjawab: "Tidak ! Begitulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam telah memerintahkan kepada kami.”  Hadis sahih yang dikeluarkan oleh Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 1087.  (Dipetik daripada http://www.al-firdaus.com/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=11&mode=thread&order=0&thold=0)

Walaupun hadis ini mengenai puasa, ia jelas menunjukkan bahawa para sahabah Nabi faham hakikat alam bahawa hari dan bulan boleh berlaku berlainan di tempat yang berlainan dan menerima perbezaan dalam menyambut puasa dan hari raya berdasarkan keadaan di tempat masing-masing. Mereka tidak mencanangkan bahawa ketidaksamaan tarikh menyambut raya tersebut  adalah 'tanda tidak kesatuan ummah'.

Wallahua'lam.

Sekian.




Welcome

Newest Members

faizulfidah 

Create a free website at Webs.com