
Assalammualaikum W.B.H
Ketahuilah bahawa "ILMU LADUNI" itu adalah penyerapan Nur Ilham yang
terjadi selepas penyempurnaan (JIWA) sebagaimana firman Allah yang
bermaksud: "Demi satu jiwa serta Yang Menyempurnakannya" (Surah
Al-Syams:7). Perkembalian (kepada asal) ini adalah dengan tiga cara:
1. Mempelajari semua ilmu dan mengambil sebahagian yang lebih besar
dari kebanyakannya. (Penjelasannya: ialah dengan mempelajari
dasar-dasar semua ilmu, kemudian kebanyakan dari ilmu-ilmu ini
hendaklah diketahui pula sebahagian yang lebih besar dari kandungan.
Katakanlah lebih daripada 50%).
2. Latihan yang benar dan Murraqobah yang betul, kerana Nabi SAW.
pernah menunjukkan kepada hakikat ini dengan sabdanya yang bermaksud:
"Siapa yang beramal dengan apa yang telah diketahuinya, Allah akan
mempusakakan Ilmu mengenai apa yang belum diketahuinya".
Bersabda lagi
Nabi SAW. yang bermaksud: "Siapa yang menyerahkan dirinya untuk Allah
(beramal) selama 40 pagi, Allah Taala melahirkan mutiara-mutiara hikmah
dari Qalbu ke atas lidahnya".
3. Berfikir; bahawa jiwa itu bila beramal (menerusi ilmu-ilmu yang
dipelajari) dan berlatih (beramal) dengan (keadah) ilmu kemudian
berfikir mengenai maklumat menurut syarat-syarat berfikir, akan dibuka
kepadanya pintu ghaib seperti seorang ahli perniagaan yang
menyelenggarakan hartanya dengan syarat-syarat(yang ditentukan untuk)
penyelenggaraan, akan dibuka kepadanya pintu-pintu keuntungan. Bila ia
melalui jalan yang salah ia akan jatuh di dalam kerugian. Begitu juga
seorang pemikir itu, bila ia menempuh jalan yang betul ia akan menjadi
seorang yang bijaksana dan terbuka saluran dari Alam Ghaib dalam
Qalbunya; lalu ia menjadi seorang Alim yang sempurna, beraqal, berilham
lagi mendapat pertolongan (dari Allah) sebagaimana sabda Nabi SAW. yang
bermaksud: "Berfikir sesaat itu lebih baik daripada beribadat selama 60
tahun".
Syarat-syarat berfikir ini kami paparkan dalam suatu risalah yang lain
kerana keterangan mengenai berfikir, cara dan hakikatnya adalah suatu
yang samar, memerlukan penerangan yang agak lanjut dan penjelasan
dengan pertolongan Allah Taala.
Sekarang kami akhiri risalah ini, kerana apa yang tersebut di dalamnya
rasanya memadai untuk orang yang sesuai dengannya. Firman Allah yang
bermaksud: "Dan sesiapa yang Allah tidak kurniakan kepadanya Nur,
nescaya tidak ada baginya sebarang Nur". (Surah An-Nur:40)
Dan Allah yang menjadi Wali orang-orang Mukmin, Selawat dan Salam ke
atas Sayyidina Muhammad dan Ahli Keluargnya dan Sahabatnya. Cukuplah
Allah yang menjadi Wakil. Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah
yang Maha Mengetahui lagi Maha Besar. Bermula segala puji-pujian itu
bagi Allah Seru Sekelian Alam.
Selesailah tanggungjawab Arjuna menyebarkan Risalah ini kepada umum pada
hari Jumaat 28 Januari 2005 (9.34 pagi). Semoga Allah
memberkatinya dan melimpahkan rahmat kasih sayangnya di dunia dan
akhirat.
Allahu A'lam.
ARJUNA