Disaster and Emergency Response Unit (DERU)

PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH (JIM) NEGERI JOHOR

Laporan DERU 22-23 DISEMBER

Pada hari Jumaat alhamduliLlah kami di Johor mula dapat manfaatkan tenaga lebih kurang 40 orang anak-anak kita di Sekolah Hidayah yang baharu selesai SPM untuk membantu kerja-kerja bantuan banjir ini. Mereka kini sedang melalui program R2J selama tiga bulan sebelum ke universiti, dan asalnya sepatutnya hujung ini direncanakan mengikuti program 'Explorace' ke semerata negeri Johor. Namun, disebabkan oleh banjir banyak destinasi mereka terputus dan tak dapat ditujui, maka program mereka diubahsuai bagi membantu mangsa banjir di sini sahaja. Sepanjang hari sehingga lewat petang mereka bersama-sama sukarelawan pakcik-pakcik telah membantu membersihkan rumah-rumah dua orang guru mereka iaitu Cikgu Umar Danial dan Cikgu Kamarul, serta juga mangsa-mangsa banjir di Kg Maju Jaya. Keadaannya agak teruk berlumpur, dan sehingga petang pun tak bersih sepenuhnya lagi. Apabila mereka kembali ke Bilik Operasi, kelihatan agak 'lukuih' juga pakaian dengan lumpur. (Gambar insya ALlah dihantar kemudian - kamera lain)

Di sebelah malam Dr Hishamuddin Alham telah aturkan satu program bagi meraikan anak-anak mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara di Sekolah Pu Tze. Program termasuk persembahan multimedia dan celoteh dengan anak-anak oleh Dr Hisham, dan Pak Long (akh Aminuddin Alias, YDP JIM Johor Bahru) yang memang biasa dengan program KRJ juga. Sementara Dr Hisham dan Pak Long melayan kanak-kanak, dengan dibantu oleh beberapa anak-anak remaja KRJ kita, kami yang turut bersama datang sempat bergaul dan bersembang-sembang bersama ibubapa kanak-kanak tersebut serta pakcik-makcik mangsa banjir yang lain dan petugas-petugas sukarelawan lain di pusat tersebut seperti dari JKKK dan Bulan Sabit Merah.

Di sebelah pagi hari Sabtu pula Prof Dr Razman dengan timnya telah pergi mengambil ayam yang telah ditempah dan membeli sayur-sayuran untuk makan tengah hari di Sekolah Pu Tze dan menghantarnya ke sana. Hari itu cuma tinggal dalam 60% sahaja lagi di pusat penempatan sementara tersebut maka bekalan makanan juga dikurangnya sedikit. Kami dimaklumkan bahawa pusat tersebut akan ditutup pada tengah hari Ahad, jadi ini merupakan sumbangan makanan terakhir terakhir dari JIM.

Kira-kira jam 9:30 pagi satu mesyuarat penyelarasan sukarelawan JIM telah diadakan di Pejabat JIM Johor di Taman Desa Skudai yang menjadi Markas Operasi kami. Kami menilai bantuan yang diperlukan di seluruh negeri dan memandangkan keadaan di Johor Bahru telah mula reda kami mengalihkan perhatian ke Kota Tinggi dan Muar pula. Saya ada terima telefon dari seorang bernama Matron Fadilah yang dirujukkan kepada saya oleh Dr Musa, yang meminta bantuan tilam untuk orang-orang tua yang terkandas di Lenga, Muar. Saya maklumkan kepada beliau bahawa ini merupakan suatu permintaan yang cukup besar bagi kita, namun saya hubungi Cikgu Abdullah YDP Muar untuk follow-up dan hulurkan bantuan yang semampu kita.

Di sebelah tengah hari satu tim JIM Johor yang terdiri dari Ust Hairozi, Prof Arshad, Salleh Kassim, Ustaz Mahmud, Prof Razman dan saya sendiri telah bertolak pergi ke Kota Tinggi dengan dua kenderaan untuk menyampaikan bantuan yang disumbangkan oleh kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang diuruskan oleh Ustaz Hairozi, AJK JIM Negeri Johor, yang bertugas di sana. Oleh kerana sebahagian jalan biasa melalui Ulu Tiram runtuh kami guna jalan alternatif melalui Sg Sayong, masuk ke Kota Tinggi melalui Air Terjun (barat laut, instead of dari selatan). Kami sampai lebih kurang pukul 5:00 petang dan tuju pertamanya ke Sekolah Laksamana, di mana akh Bahriman dan keluarga tinggal sementara rumah mereka ditenggelami air (beberapa hari lepas sampai bumbung, semalam masih separas lutut lagi). Mereka kelihatan agak ceria sedikit hari ini, terutamanya ukht Azizah yang menjadi Pengetua di situ. Sekolah tersebut digunakan sebagai penempatan alternatif bagi warga pendidikan sekolah itu sendiri, untuk melegakan suasana penempatan sementara rasmi di sekolah lain. Kami tinggalkan beberapa kotak barang keperluan untuk mereka di sana, dan Bahriman dan Azizah telah membawa kami ke sekolah lain pula.

 

Di Sekolah Laksamana. Cikgu Azizah di sebelah kanan dan Bahriman di depannya

Destinasi kedua ialah ke Sekolah Teknik Kota Tinggi. Kami berjumpa dengan Hjh Junaidi, Pengetua sekolah dan suaminya, Hj Marsono Lugino, yang juga Pegawai PPD di Kota Tinggi. Mereka gembira melihat Ustaz Hairozi datang (sama-sama dalam Jabatan Pendidikan). Di sana terdapat 270 pengungsi orang awam di Dewan Besar, dan 60 lagi warga pendidikan di asrama. Ketika kami sampai kelihatan juga sukarelawan Tzu Chi sedang menghantar barang-barang keperluan ke sana dengan lori!

 

Di Sekolah Teknik. Hjh Junaidi dan Hj Marsono di tengah-tengah.
 

Keadaan di Dewan Sekolah Teknik

Selepas solat 'Asar di surau Sekolah Teknik kami bertolak pula ke Sekoleh Menengah Agama (Arab) Kota Tinggi tidak jauh dari situ dan berjumpa dengan Ustaz Amiruddin. Isteri beliau ialah pengetua di situ. Sekolah tersebut menempatkan seramai 3000 orang mangsa banjir! Bantuan kepada mangsa diselaraskan oleh Majlis Daerah Kota Tinggi, dan secara umumnya keadaan di pusat agak baik. Menurut petugas, Tengku Mahkota Johor menyumbang sebanyak 20,000 ekor ayam untuk seluruh Daerah Kota Tinggi, setelah melihat keadaan agak terbiar pada hari pertama, dengan bekalan dibawa dengan helikopter. Cuma antara bekalan yang tiada yang amat dihajati ialah tuala wanita, dan mereka sangat gembira dengan apa yang dibawa. Kami janjikan insya esoknya (hari ini, Ahad) kami akan datang lagi membawa lebih.

Memunggah bantuan di Sekolah Menengah Agama (Arab)
 

Kami bertolak pulang semula ke Johor Bahru hampir Maghrib, dan solat Maghrib di Masjid Sg Sayong di tengah perjalanan. Kami sampai kembali di Markas Operasi jam 9:30 malam, dan adakan mesyuarat untuk jadualkan semula rancangan bantuan ke Kota Tinggi yang asal dijadualkan bertolak jam 8:00 pagi Ahad, mengambilkira keperluan yang baru diketahui, agar boleh menambah bekalan kami.

Sementara itu di Johor Bahru tim-tim anak-anak R2J menyambung kerja-kerja membantu membersihkan rumah di Kg Maju Jaya.

Untuk catitan di sini juga, di sebelah pagi dua orang aktivis JIM iaitu Dr Wan Fadhillah dan Dr Murniati telah bertolak bersama tim Mercy Johor dan JPA3 menaiki trak tentera untuk ke Segamat bagi membawa bekalan keperluan dan mengadakan khidmat perubatan. Dr Wan ialah Pengerusi Mercy Johor. Daripada maklumat yang saya perolehi, dari Segamat mereka telah turun pula ke Daerah Muar dan telah menaiki bot untuk ke Lenga yang terkepong dek air. Hari ini mereka meneruskan kerja-kerja di sana, dan pagi tadi saya dapat maklumat bahawa mereka telah berjumpa dengan Matron Fadilah yang menelefon saya semalam. Saya telah pinta mereka berbincang dengan beliau mengenai keperluan di sana.

 

Dr Wan Fadhilah (ketiga dari kiri) dan Dr Murni (kiri) bersama tim Mercy
sebelum bertolak ke Segamat

 

Wassalam.

 

Ainullotfi bin Abdul Latif

YDP JIM Johor

__._,_.___

Laporan DERU 25 Disember

Di daerah Skudai ada 2 kawasan yang teruk dilanda banjir tapi keadaan telah beransur pulih dan kebanyakan penduduk sudah balik dan mereka dalam fasa membersihkan rumah.  Hari ini sebahagaian besar ahli-ahli JIM JB telah membantu mangsa banjir dengan membungkus makanan untuk diberikan kepada mangsa banjir.  Makanan yang dibungkus termasuk 1 beg beras, 1 bungkus gula, 1 pek minyak dan  beberapa tin sardin.

Kawasan yang dimaksudkan ialah Kampung Sepakat dan Kampung Laut. Alhamdulilah sebanyak 10 buah kereta telah pergi ke Kampung Sepakat dan 5 kereta yang pergi ke Kampung laut.  

Hari ini saya berpeluang mengikuti mereka ke Kampung Sepakat. Di bawah adalah beberapa gambar yang sempat saya ambil.

 

 
 

Bungkusan-bungkusan yang telah siap untuk dihantar ke Kampung Sepakat.

 

 

Petugas wanita pula telah ditugaskan untuk meyisihkan pakaian terpakai yang telah disumbang oleh orang ramai kepada pusat DERU di Taman Desa Skudai.

 

 

Sukarelawan lelaki sedang membungkus beberapa pek untuk dihantar ke tempat yang ditewaskan oleh banjir besar Johor 2006. 

 

 

Muaz anak Dr. Jamaluddin sedang menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.  Di belakang pula ialah Ketua Kampung Sepakat yang sentiasa bekerjasama dengan pihak DERU JIM Johor Bahru.

 

 

Sekali tengok macam rombongan kahwin pula.  Seronok tengok ramai adik-adik yang datang membantu mengagihkan makanan kepada mangsa banjir.  Suasana agak tenang kerana air dah sepenuhnya kering.

 

 

Prof. Madya Dr. Abdul Rahim mengambil kesempatan mengagihkan bungkusan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Sepakat.

 

 

Abang Kasim bersama isteri tersayang dan anak beliau di belakang kereta sedang rehat setelah berhempas pulas membersihkan rumah beliau.


Laporan: Kamal Khalil

Laporan DERU 25 Disember

Petang semalam semasa menghantar barangan keperluan di Kg Laut, Skudai, J.Bahru yang telah terjejas teruk disebabkan oleh banjir (hanya 'sepelaung' dari UTM Johor). Mereka semua telah pun diarahkan keluar dari pusat penempatan di Dewan Sek China Pu Tze kerana dikatakan air telah pun surut, tetapi bila tengok sendiri keaadan kg yang ada pada masa ini, hati pasti akan berkata... "boleh ke nak duduk dalam keadaan sedemikian, air/api tak de, selut pulak... jangan cakap"
 
Sempat berbual dengan Ketua Kampung... "Kalau NGO-NGO tak datang, sama ada yang muslim atau pun tidak utk menghantar barangan keperluan, maka kebulur tak makanlah kami di sini encik, Orang pej kebajikan hanya datang masa mula2 dulu, itupun entah dah berapa banyak borang yang kami dah isi" Itulah antara luahan hati dari ketua kampung tersebut.

Sekarang mereka memasak gotong royong semasa mereka di dewan tersebut.... tetapi sampai bila, kerja utk mencari sedikit rezeki utk keluarga perlu diteruskan, tetapi keadaan rumah tak mengizinkan mereka keluar begitu sahaja.
 
Hujan dah mula turun kembali dengan lebatnya di sekitar JB semenjak malam semalam. Kota Tinggi, khabarnya air dah mula naik semula di bbrp buah tempat.
 
Laporan: Aminuddin Alias

Create a free website at Webs.com