Disaster and Emergency Response Unit (DERU)

PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH (JIM) NEGERI JOHOR

Laporan DERU 22 Disember

Pada petang Jumaat 22 Dis, pasukan bantuan mangsa banjir JIM Muar yang diketuai akh YDP – Cikgu Abdullah Sahid disertai beberapa orang ikhwah akhawat telah pergi ke penempatan sementara di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yg terletak di Pagoh. Turut bersama kami ialah beberapa orang pelajar Acheh yg sedang menuntut di Intisar. Selain menghulurkan bantuan untuk mangsa banjir, tujuan utama kami adalah untuk menziarahi seorang saudara baru yg bernama Muhammad Murugan Abdullah a/l Munusamy. Beliau merupakan ahli JIM Sg Petani dan sedang bercuti di kampungnya di Panchor yang teruk dilanda banjir.



Cikgu Abdullah menyampaikan sumbangan kepada urusetia penempatan. Mereka amat berbesar hati menerima kunjungan dan sumbangan daripada JIM.


Rombongan JIM bersama sebahagian petugas dan mangsa banjir.


Sdra YDP bergambar bersama sdra Muhammad dan keluarganya di penempatan IKBN.


Ketika pasukan JIM meninjau keadaan banjir di Ladang Lanadron, Panchor di mana terletaknya rumah keluarga Muhammad, kelihatan air masih belum surut dan pasukan keselamatan sedang mengadakan kawalan.


Sumbangan khusus untuk sdra Muhammad bagi membantu meringankan musibah yang menimpa beliau dan keluarga.

 

Laporan DERU 24 Disember

Kali ini kami bergerak ke Kg Gombang, Lenga yang terletak tidak jauh dari Pagoh. Pasukan DERU Muar mendapat suntikan semangat membara YDP JIM Johor dan turut serta ialah DERU dari JB dengan sebuah lori 4 tan sarat dengan barangan sumbangan. Permintaan daripada team Mercy – Dr Murni yg meminta JIM membantu penduduk yang ditempatkan di Sek Keb Kg Gombang dengan 338 pengunsi. Kami diberitahu untuk sampai ke Gombang perlu menaiki bot memandangkan jalan darat telah terputus. Alhamdulillah urusan kami dipermudahkan dengan bantuan seorang penduduk tempatan - En.Abdullah. Beliau menunjuk arah perjalanan dan sokongan trak serta bot tentera memudahkan pergerakan. Beberapa halangan dalam perjalanan akhirnya dapat diatasi seperti van akhi Norhan yang terkandas ketika merentasi banjir di pekan Pagoh. Kami perlu segera bertindak memandangkan jam sudah menunjukkan 5 ptg sedangkan perjalanan masih jauh dan mencabar, sementara langit yang disangka panas hingga ke malam rupanya hujan di kala petang..


Beramai-ramai menolak van akh Norhan yang terkandas kerana mengharungi air banjir di pekan Pagoh.

 

 

 

Akh Dr. Abd Rahman (TYDP JIM Muar) dan akh Shaharudin Mohd Said (S/U JIMJB) sedang asyik mendengar luahan sayu hati Ketua Kampung Batu 28, Lenga.

 

 

 

Bot tentera membawa muatan barang2 sumbangan dan ahli pasukan DERU JIM membelah deruan banjir untuk ke pusat perpindahan. Kelihatan di belakang sekali yang memakai topi dan berbaju hijau ialah akh Cikgu Abdullah – YDP JIM Muar.

 

 

Salah sebuah rumah yang ditenggelami air di Kg Gombang Lenga.

Ketibaan kami di Kg. Batu 28, Lenga telah disambut ceria oleh penduduk setempat. Mereka bingkas membantu kami memunggah barang2 ke dalam bot tanpa diminta. Ketika itu ketua kampung menemui kami dan menyatakan perasaan amat seronok serta sayu hati kerana akhirnya ada juga NGO Islam yang datang menghulurkan bantuan. Menurutnya yang datang sebelum ini adalah dari kalangan kumpulan Non-Muslim dan kami merupakan kumpulan N muslim yang pertama ke situ! Dimana agaknya YB mereka? Bila menonton berita TV nampak macam hebat bantuan diberi tapi rupanya masih ada yang terpinggir.. Bersama 500 botol minuman mineral dan beberapa bungkusan pakaian, makanan dan alatan lain kami bergerak ke pusat perpindahan menggunakan bot pula. Alhamdulillah 1 buah bot tentera bersaiz besar serta 1 lagi bot persendirian membawa kami menyusuri banjir yang mengambil masa 20 min perjalanan. Alhamdulillah ketibaan kami telah ditunggu oleh trak tentera untuk membantu mengangkut kami dan barang2 ke pusat perpindahan Kg Gombang.

 

Bergotong royong memunggah barang2 dari bot ke dalam trak askar. Kelihatan akh  Azmi (berbaju kuning) dan akh YDP (berbaju hijau dan bertopi biru) sedang

membantu mengangkat barang2 sumbangan untuk di hantar ke pusat perpindahan di Sek Keb Kg Gombang, Lenga.

 

 

Wakil DERU JB – akh Abd Halim (vest hitam), akh YDP dan en. Jalal – penyelaras pusat perpindahan (berbaju putih) sedang berbincang mengenai keadaan terkini di pusat perpindahan ketika menuju ke sek keb Gombang menaiki trak askar.

 

 

Akh YDP sedang brief tentang agihan barang2 sumbangan DERU kepada wakil ketua kampung Gombang sambil diperhatikan akh Azmi dan ukht Yudasma. Tuala wanita, pampers dan petrol adalah barangan keperluan mendesak bagi mereka.

 

 

Akh YDP – Cikgu Abdullah sedang mengisi buku pelawat.

 

 

DERU JIM Muar diwakili akh YDP menyerahkan barang2 sumbangan kepada penduduk mangsa banjir Gombang.

 

 

Sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di salah sebuah bilik darjah di Sek Keb Gombang, Lenga.

 

 

Akh Abd Rashid (baju putih dan bertopi), Ustaz Suhaimi Jairi (berjaket biru) dan akh Abd Halim (vest hitam di atas lori) sedang membantu memunggah barang2 dari DERU JB untuk disimpan di dalam lori yang akan digunakan dalam operasi DERU keesokkannya. Pasukan DERU Muar akan bergerak menuju ke Kg Jawa dan pekan Lenga untuk menghantar bantuan seterusnya.


Laporan: Anuar Othman 





 

Laporan DERU 24 Disember

Selain daripada misi ke Kota Tinggi dan Simpang Rengam yang sememangnya dirancang, satu lagi tim dari JB telah dibentuk semasa mesyuarat pagi Ahad untuk berangkat ke Daerah Muar membawa bantuan ke Lenga pada jam 2:00 petang. Ini berdasarkan feedback daripada ikhwah di Muar terutamanya Cikgu Abdullah YDP Muar dan Cikgu Norhan mengenai keperluan air minuman di sana, dan juga dari Dr Murni yang pulang dari misi Mercy sebelumnya.
 
Ust Hairozi telah mengusahakan mendapatkan sebuah lori 4 tan dari jabatan, siap dengan pemandu. JIM telah mendapatkan 1380 botol air minuman untuk dibawa ke sana, dan di samping itu memuatkan 40 kotak pakaian dan barangan keperluan lain. Misi dari JB diketuai oleh akh Abdul Halim Ali dan disertai oleh akh Shaharuddin Mohd Said, akh Abdul Rashid Abdul Rahman dan dua orang anak lelakinya, dan akh Ustaz Suhaimi Jairi. Di sana mereka bergabung dengan ikhwah Muar yang diketai oleh Cikgu Abdullah, Cikgu Norhan, akh Anuar, akh Azmi, 2 orang akhawat (isteri Norhan dan isteri Azmi) dan 4/5 orang pelajar Intisor. Laporan dan gambar telah disampaikan oleh akh Anuar.
 
Sebagai rangkuman, pada hari Ahad 24 Disember kerja-kerja menDERU telah dilaksanakan oleh ikhwah-akhawat Johor di tiga lokasi luar JB iaitu di Simpang Renggam, di Muar dan di Kota Tinggi, selain daripada di JB sendiri.


Laporan: Ainullotfi bin Abdul Latif, YDP JIM Johor

Laporan DERU 25 Disember

Kampung Jawa, Lenga adalah sasaran kami hari ini. Alhamdulillah cuaca cerah meningkatkan semangat untuk bergerak seawal mungkin. Kami bergerak dengan sebuah pacuan 4 roda dan sebuah lori 1 tan yang sarat dipenuhi barang-barang sumbangan tetapi malangnya lori terkandas pula ketika mengharungi banjir di pekan Pagoh. Mujur trak tentera datang membantu. Barang dipunggah ke trak dan kami bergerak bersama pasukan DERU dari JB yang menaiki 2 buah pacuan 4 roda. Turut sama ialah Pak Hj. Jamadi (penduduk tempatan) yang menjadi penghibur kami sepanjang perjalanan kerana celotehnya. Hari ini bantuan bot tentera dan polis telah bertambah. Jumlah bantuan dari pihak lain juga datang menderu. Maklumlah Pak Menteri datang lawat kawasan, tetapi mangsa dah 7 hari menderita…

Perjalanan 45 minit dengan bot polis amat menyeronokkan walaupun terasa bahaya kerana meredah air di celah-celah pokok getah dan kelapa sawit (sebenarnya dari pengkalan di batu 29 ke Kg Jawa hanya 5 minit dengan motor atau kereta jika tidak banjir). Satu bot lagi menggunakan orang tempatan sebagai jurupandunya. Penempatan pengungsi tidak setempat. Oleh kerana rumah-rumah di kampung tersebut ada yang tidak terjejas, maka sebuah rumah didiami banyak keluarga mangsa. Bagi YDP JIM Muar pula, kehadiran beliau disambut ceria oleh sebahagian pengungsi kerana di sinilah sangat ramai saudara mara beliau tinggal. Nama pun Kg Jawa. Faham-faham sahajalah bahasa komunikasi mereka. Petugas wanita juga amat besar peranan mereka menyantuni para pengungsi dari kalangan kaum ibu dan wanita. Tahniah dan syabas buat Trio Srikandi waja (Zanariah –isteri Sdr Salleh Kassim, Yasmin – isteri Dr. Hishamuddin Alham, dan Dr. Khairul Suzana –isteri Sdr Mohd Noor) yang turut sama menDERU ke Muar.


Pekan Lenga dan Kg Gombang perlu diziarahi untuk kami hulurkan sumbangan seterusnya. Kg Gombang perlukan beberapa barang keperluan yang tidak dapat disampaikan kelmarin. Kami perlu tunaikan janji kami khususnya untuk seorang warga OKU. Jam dah pukul 3.30 petang, kami perlu bergerak pantas. Selesai solat dan makan kami terus berpecah dalam 2 kumpulan untuk masing2 bergerak ke 2 kampung tersebut. Sdr Anuar dan Sdr Norhan tidak dapat ikut serta kerana perlu tangani lori yang masih tersadai di pekan Pagoh. Namun lori tak dapat dibereskan juga dan mereka bergegas menyertai pasukan ke Pekan Lenga. Satu pasukan lagi yang terdiri dpd Dr.Hishamuddin Alham dan isteri, Hj Salleh Kasim dan isteri, Dr. Abd. Rahman dan Pak Hj. Jamadi pula bergerak ke Kg. Gombang.

 
Ke Pekan Lenga mengambil masa 15 minit dengan bot (jika tidak banjir, naik motosikal 3 minit dah sampai). Cerita sedih berulang seperti di Kg Gombang semalam. Bekalan lambat diterima. Sentimen kaum masih membara. Cerita mereka ialah agihan sumbangan banyak dilebihkan kepada satu kaum sahaja. Kerana, kaum itulah yang kerap diziarahi samada dari Singapura mahupun Kuala Lumpur. Makcik2 di situ tidak segan bercerita tentang sumbangan dari Genting bernilai RM1 juta. Tapi malangnya barang2 tersebut tidak sampai kepada makcik2 ini. Ketika barang2 sumbangan diturunkan melalui helicopter, mereka hanya mampu melihat dari jauh kerana barang2 tersebut diagihkan kepada orang lain.

Pada jam 5 petang kami mendapat berita bahawa 2 lagi pasukan DERU sedang menuju ke kampung Gombang melalui jalan kebun kelapa sawit menggunakan pacuan 4 roda. Mereka dari JIM JB dan JIM Batu Pahat. Alhamdullah, ahli JIM menderu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang amat memerlukan..

 

 

Pasukan DERU JIM memulakan pergerakan menghantar bantuan dengan bot polis dari pangkalan Batu 29, Lenga.

 

 

DERU JIM Muar yang diketuai oleh akh YDP (berbaju hitam) sedang menyampaikan bantuan kepada Ketua Balai Polis Lenga sambil diperhatikan Penghulu Mukim Lenga (berbaju putih) yang juga merupakan AJK ABIM Muar ketika berada di pusat perpindahan pekan Lenga.

 

 

Jadual bertugas di kalangan pengungsi di pusat perpindahan banjir pekan Lenga.

 

 

Dr. Khairul Suzana sedang beramah mesra sambil menghulurkan sumbangan kepada kaum ibu.

 

 

Akh YDP sedang “ngomong2” dengan saudara mara beliau yang ditempatkan di pusat perpindahan.

 

 

Pasukan DERU JIM juga disertai pewaris remaja dan aulad dari Muar. Dari kiri : Azmi (KRJ Muar), Ismail (intisar), Zaim (anak kedua Sdr Norhan), Hj.Nawawi (jiran Sdr Salleh yang menyediakan 2 pikap pacuan 4 roda untuk penghantaran dari JB), Sdr Mohd Noor dan isterinya ukht Khairul Suzana (DERU JB), Iman As-Syaheed (anak sulung Sdr Anuar), Aslam (anak ke 3 Sdr Norhan), Sdr Norhan Ahmari (DERU Muar) serta Nazaruddin (Intisar), bergambar kenangan di pangkalan Batu 29.


 Laporan: Anuar Othman

Laporan DERU 25 Disember

Rombongan team DERU JB ke Muar terdiri dari Abdul Halim Ali ( Ketua), Shahrudin Said, Ustaz Suhaimi Jairi, Dr Rashid A. Rahman bersama 2 orang anaknya Lokman dan Muhammad...menaiki 2 kenderaan, Unser dan lori 4 tan lori  jabatan pendidikan Johor bersama pemandu , juga toiletteries (harga berjumlah RM 600 ) ..syabas kepada ustaz hairozi (lori) dan sahabat yang team DERU yang telah menyediakan bantuan walaupun hanya beberapa jam terima panggilan dari Muar! Ni yang semangat ni...
 
2.40 bertolak dari Skudai... 4.30+ tiba di tol Pagoh...kemudian meredah 2 sekatan air sebelum tiba pekan Pagoh...pekan Pagoh telah dinaiki air sehingga 2 kaki di setengah tempat..) sebenarnya di Muar telah 4 hari terputus bekalan air bersih ...air di kolah pun dah habis...alhamdulillah di kampung ayah di Pt Buaya ada lori SAJ datang...terserempak team MERCY menghala ke Muar dari Kg Jawa(?) dan 2/3 kenderaan dari persatuan Buddha menghala ke Lenga... Bertemu Team Muar, Cikgu Abdullah, Norhan dan keluarga, Azmi dan Isteri, adik Lokman ( dah  kenal dalam  KRJ...), Anuar, Sdr Ismail dan geng dari Intiasar...(pernah jumpa awal tahun bersama R2A)...
 
5.15 solat Asar selepas pekan Pagoh...wudu' guna air sungai...kemudian bergerak ke Kampung Gombang melalui batu 28...sebenarnya ada jalan lain ikut Estate tapi orang Kampung Gombang pun sesat ikut jalan tu
 
6.00-8.00 ...jalan ke Kampung Gombang dinaiki air sehingga paras siling rumah ( 10 kaki) ...menaiki bot tentera bersama 40 kotak air dan beberapa kotak makanan menuju sekolah kebangsaan di Kampung Gombang (300+ pengungsi)...sementara tu mereka yang tinggal  pergi ke penempatan sementara di Sekolah Agama ( 7 keluarga sahaja)
 
Di SMK Gombang serahkan bantuan...kami nampak persatuan Buddha tu punya bekalan sampai dulu...dari cerita mereka yang diperlukan sangat ialah generator dan minyaknya kerana sekarang mereka pinjam kawan punya...elektrik terputus sejak 4/5 hari lepas ...insyaallah JIM Muar akan usahakan...
 
...seterusnya dijamu makan malam serba ringkas dan solat maghrib, kemudian jalan kaki ke tempat menaiki bot...trak tentera pun kena jimat minyak jugak kerana yang ada tinggal separuh...naik bot dalam kegelapan malam menuju Bt 28.
 
8.00-11.30 Singgah sebentar di penempatan mangsa di Sek Agama bT 28,  ...menempuh air sekali lagi...macam naik lagi pulak air ni......menolak van selepas pekan Pagoh...Menuju ke Muar dan singgah melawat jenazah bapa Khairudin Derwish di Pt setongkat, ...punggahkan barang yang tinggal untuk kampung Jawa esok di Pt Keroma (rumah Anuar)...satu lori penuh ...
 
11.30-2 pagi... bertolak dari Parit Keroma...singgah di Kg Istana jam 12.30... menunggu jenazah bapa Ustaz Hasanuddin dri hospital kira2 20 minit sebelum jenazah sampai ...alfatihah ...pulang semula ke JB dan sampai jam 2.10 di Pejabat JIM...sempatlah jugak bersempang dengan fasi R2J dan berkongsi pengalaman untuk Mini Explorace R2J!
 
Sekian untuk perkongsian...semoga bertambah amal  dan iman dan kekuatan agar terus menDERU...gambar dan pendetailan oleh Akh Anuar JIM Muar


Laporan: Abdul Halim Ali

Create a free website at Webs.com