Disaster and Emergency Response Unit (DERU)

PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH (JIM) NEGERI JOHOR

JIM terus MenDERU di Lenga 29 Disember

DERUan 29 Disember.

Lihat Foto di Album


Perkembangan yang agak baik pada hari ini kerana banjir mulai surut dengan ketara. Bot tidak lagi digunakan dan digantikan dengan trak askar untuk ke pusat penempatan. Pasukan JIM terus menDERU ke Muar.

Akh Ridzuan (ketua) dan akh Hasbullah bersama 5 orang remaja turun mewakili JIM Hulu Langat. Dari JB akh YDP JIM Johor sendiri turun ke medan ditemani anak perempuan - Ruqaiyah, membarakan lagi semangat kami untuk menjayakan misi dakwah kepada masyarakat. Akh Abd Halim (JB) juga turun dengan memandu kereta sendiri bersama 2 orang anak lelaki.

Akhawat JB juga tidak mahu ketinggalan. Ukht Mahayati mengetuai rombongan dari Iman ELC bersama 7 orang akhawat akan menyantuni kaum wanita dan kanak-kanak. Lebih menarik apabila pada hari ini 1 kumpulan dari ILSAS – Intitut Latihan Sultan Ahmad Shah (TNB) menyertai misi DERU. Rombongan mereka diketuai oleh Ust Fadli, datang bersama 1 buah lori membawa muatan barang2 bantuan diiringi 1 buah van.

Kumpulan dibahagi 3 untuk bergerak ke Kg. Jawa, Pekan Lenga dan Gombang. Hari ini sekali lagi buah-buahan menjadi ole-ole istimewa, ditambah bungkusan ‘jajan’ untuk diberikan kepada kanak-kanak. Akhawat Iman ELC amat kreatif menarik perhatian kanak-kanak untuk melibatkan diri dalam aktiviti. Syabas kepada kak Mahayati n the gang! Mereka pastinya tidak akan lupa kenangan bersama antum. Akh


Hari ini amat bersejarah bagi pasukan DERU di Gombang kerana ikhwah telah berjaya mengajak masyarakat di situ mengerjakan solat Jumaat – yang pertama sejak banjir menyerang. Lebih menarik lagi apabila akh Ustaz Mahmud diberi penghormatan menjadi khatib dan imam solat jumaat, Allahu Akbar!

Lewat asar, lembu 4 ekor sampai di Pusat Operasi. Lebih menggembirakan kerana tuan punya lembu bersetuju memberi diskaun sebanyak rm600. Alhamdulillah, bolehlah kami gunakan untuk membeli rempah masakan untuk majlis Qurban nanti.

Ayuh ikhwah dan akhawat semua. Masyarakat di sini amat memerlukan sumbangan antum. Hulurkan apa sahaja. Inilah masanya untuk kita praktik segala teori usrah dan canaikan ke medan. Sesungguhnya sambutan penduduk terhadap JIM amat memberangsangkan. Mari kita sambut eidul adha bersama mereka dengan kemeriahan dan keinsafan Qurban. DERU di Muar amat ternanti sukarelawan dari JB, KL n Selangor. Kepada mana2 ikhwah/akhawat yang sedia ‘berkorban’, sila hubungi akh Zairul (019-3557928) dan akh Zainal Sidi (012-7558523) . Sumbangan amat dialukan.

Laporan oleh Unit DERU JIM Muar.

Catatan YDP JIM Johor di Lenga 29 Disember

Lihat Foto di Album

Perjalanan dari Pekan Lenga ke Kg Jawa perlu mengharung lebih banyak kawasan yang tengelam dan lebih dalam. Saya memerhatikan sekeliling cuba mengecam tempat-tempat yang pernah diceritakan oleh isteri saya dan juga tim-tim terdahulu, apatah lagi memandangkan Kg Jawa merupakan antara tempat yang paling teruk dikesani banjir.

Sehari sebelum banjir, perhubungan telefon talian darat dari kampung tersebut terputus angkara pencuri wayar telefon. Kemudian letrik dimatikan dan air paip pula dihentikan kerana banjir. Isyarat telefon bimbit juga merudum tidak kesampaian, tidak kira pula bateri yang tidak dapat dicas. Tiga empat hari juga berlalu sebelum orang kampung menerima sebarang bantuan, dan kesannya pada satu ketika mereka terpaksa bertahan memakan ubi gajah yang keras itu sahaja.

Sampai di Kg Jawa Kapten Junaizat (Kapten Jo) menelefon Tok Ketua Kampung (atau Tok Lurah) memaklumkan ketibaan kami. Trak digostankan hingga ke tangga di Balai Raya Kg Jawa agar kami tidak perlu meranduk air banjir, dan barang-barang yang dibawa dipunggah turun dengan bantuan anggota tentera dan orang kampung. Sebaik sahaja diturunkan buah limau dan jajan diedarkan kepada kanak-kanak yang sedia menanti di Balai Raya tersebut. Terbayang kegembiraan di muka mereka, malah bukan sahaja mereka tetapi juga yang dewasa yang juga mendapatkan limau.

Saya dan Ustaz Hairozi bertemu dengan Tok Lurah En Sahar bin Sabino yang segera datang ke Balai Raya untuk menerima kami. Beliau sudahpun mengenali JIM daripada ikhwah yang datang sebelum ini, jadi mudahlah saya memperkenalkan diri sebagai Yang Dipertua JIM Negeri Johor. Namun saya teralpa membawa lebih banyak kad JIM saya, yang telahpun kehabisan di Lenga lagi, jadi saya berikannya kad kerja saya (UTM).

Beliau menerangkan bahawa di kampung tersebut terdapat lebih tiga ratus orang yang dilanda banjir, dan ditempatkan di empat pusat iaitu di Balai Raya, di sebuah rumah bersebelahan dengan masjid, di masjid (sebenarnya, di bangsal sementara yang dibina di belakang masjid), dan yang keempatnya di satu tempat lagi yang agak tersorok sedikit tidak jauh dari ketiga-tiga yang awalnya (yang berdekatan antara satu sama lain). Dalam kampung tersebut cuma dua buah rumah sahaja yang tidak dimasuki air, termasuk yang kini dijadikan salah satu pusat pemindahan.


Tok Sahar kelihatan tegas orangnya dan beliau segera menegah mereka yang berada dalam Balai Raya daripada mengambil dahulu sewenang-wenangnya barangan bantuan yang kami bawa, terutamanya pakaian. Ini agar lebih adil kepada mereka yang tiada di situ, tambahan pula terdapat penempatan lain juga selain Balai Raya. Beliau menyuruh agar barang-barang tersebut dimasukkan dahulu ke dalam stor di Balai Raya, kecuali buah limau, yang telah dibahagi empat. Kami seterusnya mengikuti beliau melihat tempat-tempat lain dan membawa bahagian limau untuk diberikan di sana juga.


Sampai di rumah pusat penempatan kedua kami bertemu dengan beberapa orang kampung yang berada di sana pula. Satu yang segera menarik perhatian saya ialah isteri Tok Sahar sendiri yang sedang sibuk membantu di masak-masak dan bersiap di sana. Tok Sahar pernah menyebut kepada tim sebelum ini bahawa kampung tersebut 99% Jawa; yang bukan Jawa itu ialah isterinya Puan Aminah, orang Melayu. Tetapi yang lebih menariknya ialah, Kak Aminah ini memakai baju JIM... sambil berseloroh dia sebut yang dia sudah jadi ahli JIM.

Di situ juga kami diperkenalkan kepada warga yang paling tua di Kg Jawa iaitu Pakcik Ngasimin, berusia 106 tahun. Saya macam tak percaya sahaja... beliau kelihatan masih tegap lagi! Kalau saya sendiri nak teka, mungkin saya teka dalam 65-70 tahun sahaja usianya. Beliau lebih suka berlenggeng sahaja tak memakai baju.


Selepas itu ikhwah berselerak di sekitar masjid dan penempatan banjir, berbual-bual dengan orang kampung dan mendengar luahan hati mereka mengenai keadaan banjir kali ini. Ada yang pergi melihat keadaan rumah yang masih ditenggelami air di kawasan rendah di sebelah sana jalanraya. Saya sendiri banyak mendampingi Tok Sahar dan mendengar cerita-ceritanya. Saya cukup kagum dengan kecekalannya dan juga foresightnya dalam menangani krisis kini dan menjaga anak buahnya di kampung tersebut.


Sementara kami menantikan solat Jumaat satu lagi trak sampai ke Kg Jawa, kali ini membawa beberapa orang ikhwah dan akhawat dan juga sukarelawan dari ILSAS (Institut Latihan Sultan Ahmad Shah TNB) yang bergabung dengan tim JIM. Pada hari Rabu sebelum itu saya telah dihubungi oleh Puan Mazmin dan kemudian oleh Ustaz Fazli dari ILSAS memberitahu mereka mahu mengirim barang bantuan untuk mereka yang dikesani banjir. Saya mengalu-alukan inisiatif mereka tersebut dan menyatakan bahawa mereka juga boleh datang untuk melihat sendiri pengagihan barang bantuan tersebut, lantas kehadiran mereka hari itu, dengan sebuah trak TNB berisi barang-barang dan sebuah van sukarelawan dan pemantau (untuk melihat sendiri kesan banjir kepada kemudahan letrik). Ustaz Fazli sendiri mengetuai tim ILSAS tersebut tetapi beliau menyertai tim ke Lenga dan tidak ke Kg Jawa.


Menjelang masuk waktu Zohor kami bersiap ke masjid untuk solat Jumaat. Menurut ceritanya, minggu lepas air mula masuk ke dalam masjid semasa khutbah Jumaat, tetapi kali ini telah jauh surut dan masjidpun telah dibersihkan. Namun masih jelas bekas air kira-kira sejengkal dari lantai di dinding masjid. Tok Sahar dan orang kampung sudah siap kemas berpakaian Melayu, tetapi saya sendiri tetap bert-shirt JIM sahaja kerana ketinggalan beg saya di Batu 28, tak sempat nak ambil lantaran perlu bergegas mengejar trak tentera tadinya.


Selepas selesai solat Jumaat Tok Sahar bangun memberikan taklimatnya kepada orang kampung mengenai keadaan banjir dan arahan terus tinggal di pusat. Sebelum itu, di awal taklimat beliau menyebut kehadiran saya selaku YDP JIM Negeri dan tim JIM di situ dan menyatakan kalau siapa yang perlukan bantuan, bolehlah berjumpa dengan kami. Saya agak tersentak juga dengan penghormatan itu, tetapi kalau ada yang betul-betul datang, apa yang hendak saya berikan?! Ikhwah mengambil kesempatan selepas solat untuk berbual dan bermesra dengan orang kampung.


Pada waktu makan tengah hari kami duduk jauh-jauh sahaja agar tidak menggangu orang kampung. Ikhwah memang cuba berpegang kepada prinsip mengelak daripada memakan apajua barangan bantuan yang dihulurkan untuk yang kena banjir, baik yang kita bawa, maupun yang dihulurkan oleh pihak lain, termasuk kerajaan. Makanan untuk sukarelawan kitapun memang kita sediakan daripada peruntukan lain, bukannya dari apa yang kita kumpulkan melalui derma orang ramai.

Selain daripada itu kita tak mahu mereka pula menumpukan perhatian meraikan kita, sedangkan tugas kita sebaliknya. Namun memang sukar juga, apabila orang kampung meminta juga kami makan bersama, terutamanya bagi saya selaku ketua misi. Untuk menjaga hati Tok Sahar saya terpaksa duduk juga dan menjamah sedikit, tetapi ikhwah lain nampaknya pandai-pandai belaka mengelak.


Kira-kira pukul 2:45 petang sukarelawan wanita dan remaja kita mengumpulkan semua kanak-kanak di dewan terbuka di belakang masjid untuk diraikan. Acara yang dijalankan termasuk bernasyid, main-main, bercerita, dan mewarna dan melukis. Sungguh girang anak-anak kecil tersebut, begitu juga para ibu yang bersama memerhatikan. Barang-barang melukis dan mewarna disumbangkan oleh Iman ELC (Rangkaian Tadika Iman).

Di akhirnya anak-anak diberikan jajan pula setiap seorang.


Walau bagaimanapun kira-kira jam 4:00 petang kami perlu keluar semula dari Kg Jawa untuk kembali ke Pusat Operasi. Elok pula sebuah trak tentera tiba di situ pada ketika itu. Kami terpaksa meminta diri untuk beredar dari Tok Sahar dan orang kampung. Beliau bergegas meminta diambil kameranya, untuk bergambar ramai bersama sebelum kami pulang.

Trak yang kami naiki di Kg Jawa sebenarnya datang untuk mengambil Tok Ketua atau wakilnya menghadiri satu mesyuarat mengenai banjir, di Lenga. Walau bagaimanapun, Tok Ketua tidak pergi dan beliau telahpun menghantar wakilnya pergi sebelum itu lagi. Jadi kami hanya dibawa ke Pekan Lenga sahaja dan perlu mendapatkan pengangkutan lain ke Batu 28.

Kami turun di Balai Polis Lenga dan saya menghubungi Salleh untuk mengetahui rancangan operasi kami seterusnya petang tersebut. Beliau memberitahu kita akan membuat mesyuarat penyelarasan di Pusat Operasi apabila semua tim pulang kelak dan meminta juga saya hubungi Cikgu Abdullah bagi urusan pengangkutan tim kami pulang. Apabila saya hubungi Cikgu, beliau berada di Dewan Serbaguna Lenga dan memberitahu bahawa beliau telah uruskan pengangkutan dengan pihak tentera dan akan mengambil kami di Balai Polis.

Walau bagaimanapun setelah berbincang dengan anggota-anggota lain tim kami, kami memutuskan untuk berjalan sahaja ke Dewan Serbaguna kerana ia hampir sahaja. Lagipun saya mahu melihat sendiri bagaimana keadaan di Pekan Lenga tersebut, terutamanya di pusat pemindahan banjir.

Di Dewan Cikgu dan akh Redzuan sedang menguruskan penyerahan bantuan DERU dengan Pak Chat wakil kepada YB Mohd Tahir Taat ADUN Bukit Serampang. Di dalam dewan yang digunakan sebagai pusat penempatan sementara beberapa orang remaja kita sedang berbual dengan mereka yang ditempatkan di sana. Cikgu Abdullah memberitahu bahawa trak tentera akan bertolak jam 4:30 petang.

Perjalanan pulang ke Batu 28 laju sahaja mengharung air banjir. Beberapa kali air menyimbah masuk ke dalam. Memang anggota tentera yang bertugas muda-muda belaka, dan Kak Rosnah beberapa kali merungut pemandu muda tersebut membawa trak terlalu laju, takut tak selamat. Saya senyum sahaja.

Trak tersebut membawa kami terus ke Pusat Operasi di Batu 28, bukan setakat ke gigi air di Batu 29 sahaja. Sampai di sana kami dimaklumkan bahawa lembu untuk kurban sudahpun sampai, sehari lebih awal, dan Salleh sedang berusaha mendapatkan duit untuk bayarannya melalui isteri Cikgu Norhan yang akan datang dari Muar. Akh Abdul Razak Bendahari JIM Johor telahpun menguruskan perpindahan wang ke Bank Islam di bandar Muar.

Di situ juga kami bertemu dengan Haji Abdul Rahman yang banyak membantu kami, terutamanya dalam mendapatkan lembu kurban tersebut. Empat ekor lembu tersebut diturunkan dan diikat di kawasan semak di luar pagar masjid di seberang jalan dari Pusat Operasi. Kemudiannya kami dimaklumkan bahawa bayaran lembu diberi diskaun enam ratus ringgit oleh tuan punya lembu.

Entah apa yang diceritakan oleh Haji Abdul Rahman kepadanya agaknya! Lebihan tersebut boleh kami gunakan untuk membeli rempah ratus bagi memasak kelak. Saya risau keselamatan lembu yang ditinggalkan di situ, tetapi Salleh memberitahu bahawa Tok Ketua Kampung telah mengarahkan orang kampung sendiri menguruskannya. Jadi kami tak perlu sediakan petugas untuk membuat hirasah.

Sementara itu kami sempat bertemu dengan tim daripada ILSAS yang sedang bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur setelah seharian menyertai operasi kami. Saya memang mahu bertemu sendiri dengan Ustaz Fazli yang pernah saya bercakap dengannya melalui telefon sebelum ini. Beliau menceritakan pengalaman beliau hari itu dan memberikan feedback mengenainya. Rupa-rupanya beliau memang satu batch dengan Ustaz Mahmud semasa di Jordan, dan juga kenal Ustaz Hairozi sebagai yang menguruskan pemergiannya ke sana dulu.

Setelah selesai urusan lembu dan tim ILSAS pulang kami masuk ke dalam Pusat Operasi bagi mendengar laporan dari semua tim dan merancang tindakan selanjutnya. AlhamduliLlah semuanya begitu positif sekali. Selain dari menghantar bantuan dan bermu'ayyasyah bersama-sama dengan orang kampung, di Gombang Ustaz Mahmud telah diminta untuk menjadi Khatib Jumaat dan mengimami solat.

Rupa-rupanya itulah kali pertama solat Jumaat di Gombang dilakukan kembali setelah banjir. Kali ini pun, untuk ke masjid mereka perlu mengharungi air separas betis. Malah kesan daripada itu, pihak Imam (1) masjid sendiri telah meminta agar Ustaz Mahmud menjadi imam sekali lagi semasa Hari Raya Haji kelak!
Semasa kami bermesyuarat Haji Abdul Rahman datang lalu menyertai kami juga. Selepas mesyuarat saya sempat berbual dengannya. Alangkah terkejutnya saya apabila kami dimaklumkan bahawa beliau berusia 61 tahun, kerana rupanya dan keadaan badannya tidak menunjukkannya. Apabila saya sebutkan itu di samping juga mengenai Pakcik Ngasimin yang saya temui di Kg Jawa tadinya, dan menanyakan kepadanya bagaimana rahsia orang di situ tidak dimakan usia. Beliau ketawa sahaja dan menyatakan bahawa Pakcik Ngasimin itu bapa saudaranya sendiri.

Setelah selesai mesyuarat itu saya dan Fathimah meminta diri untuk kembali ke Johor Bahru. Malam tersebut kami mengadakan mesyuarat menyelaraskan operasi banjir di seluruh negeri dan saya perlu berada di sana. Mesyuarat tersebut penting kerana kami perlu menyelaraskan kegiatan semasa Hari Raya Haji di Mukim Lenga ini.

Salleh telah minta agar sekurang-kurangnya 40 orang ikhwah JIM datang untuk berhari raya bersama dengan orang kampung di sana, mengikuti empat kampung yang disumbangkan lembu korban tersebut. Dalam perjalanan pulang, Salleh menelefon memberitahu akh Zairul tawarkan lima ekor lagi lembu untuk kawasan banjir. Saya minta belia uruskan, dan beliau secara tentatif merancang menerima dua ekor untuk Muar, bagi Kg Batu 23 dan Kg Renchong pula, selain dari empat yang asal di Kg Jawa, Batu 28, Pekan Lenga dan Kg Gombang.



Hj. Ainulotfi Abdul Latif
YDP JIM Johor

Create a free website at Webs.com