AlhamduliLlah pada hari Ahad 24
Disember, tim DERU JIM Johor telah dapat melaksanakan beberapa tugas
lagi bagi membantu mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini. Seperti
biasa, sukarelawan JIM berhimpun terlebih dahulu di Pejabat JIM Johor di Desa
Skudai yang menjadi Pusat Operasi kami bermula jam 9:00 pagi. Berdasarkan
laporan yang diterima semalamnya dan penilaian yang dibuat kami mengambil
keputusan yang perlu bagi hari itu.
Pada jam 9:15 pagi satu tim telah
dilepaskan untuk membantu di Desa Kolam Air, Simpang Renggam, berdasarkan
permintaan daripada Sdr Hashimy YDP JIM Keluang dan Sdr Hamdan di sana. Tim
tersebut terdiri daripada 6 kereta diketuai oleh PM Dr Mat Hussin Yunan membawa
pakaian terpakai dan toiletries seperti berus dan ubat gigi. Antara yang turut
bersama ialah PM Dr Azman Hassan, akh Fauzi Rajimin dan akh Arizam dan petugas-petugas lain. Catitan ringkas oleh
PM Dr Azman Hassan telah dimelkan sebelum ini.
Sementara itu di Pusat Operasi
sendiri kerja-kerja membungkus barangan ke dalam kotak-kotak mengikut
klasifikasi jenis dijalankan dengan bantuan remaja R2J. Juga, berdasarkan
keperluan yang dinilai semasa kami ke Kota Tinggi semalamnya, satu tim yang
diketuai oleh Kak Nailah (TKWJ Johor) dan PM Dr Tholudin telah pergi
membeli-belah di sebelah pagi untuk mendapatkan bekalan yang diperlukan untuk
dikirim ke sana. Kemudiannya beberapa tim remaja di bawah program R2J telah
digerakkan untuk membantu membersihkan balai raya di Kg Laut.
Memasukkan barangan ke dalam kotak dan
melabelkannya
Membungkus pek keperluan
wanita
Kira-kira jam 12:15 tgh satu konvoi
sembilan kenderaan yang penuh sarat dengan barangan berlepas dari Desa
Skudai menuju ke Kota Tinggi. Ini termasuk satu Pajero Jabatan
Pelajaran yang membawa barangan yang disumbangkan staf jabatan tersebut yang
diusahakan oleh Ustaz Hairozi, satu pickup PM Dr Zin Kandar seorang rakan
JIM ahli ISMA yang mewakili Koperasi Muslimin, dan satu lagi
pickup yang dipinjam oleh En Nawawi jiran akh Saleh Kassim. Konvoi kami
sampai di Kota Tinggi jam 3:00 ptg setelah berhenti makan dan solat di dalam
perjalanan di Sg Sayong.
Berhenti makan di Sg
Sayong
Hentian pertama kami di Kota Tinggi
ialah di Sekolah Menengah Teknik. Kami berjumpa kembali dengan Hjh Junaidi
Pengetua Sekolah yang kami temui semalamnya. Banyaklah yang beliau luahkan
kepada kami mengenai keadaan di pusat di sekolahnya. Beliau cukup gembira adanya
NGO Muslim yang datang, apatah lagi memandangkan NGO bukan Islam cukup aktif
sekali memberikan bantuan. Di samping meninggalkan
barangan keperluan seperti toiletries di
urusetia ikhwah-akhawat sempat pergi ke dalam bertemu dengan mangsa-mangsa
yang di sana menanya khabar dan membawa ole-ole untuk kanak-kanak.
Dari Sekolah Teknik kami pergi pula
ke Sekolah Usman Awang di sebelahnya. Di situ sebahagian yang mengungsi ialah
mangsa dari kalangan orang-orang Rohingya.
Ketua Wanita JIM Johor ukht
Sumilah Marto menyerahkan sebahagian barang keperluan
kepada Hjh Junaidi
Pengetua SM Teknik
Turut diberikan ialah kad kata-kata
motivasi
Akhawat melayani ibu dan
bayi
KWJJ berbual dengan ibu-ibu mangsa
banjir di SM Teknik
Akhawat bersama mangsa banjir di Sek
Usman Awang

Gembiranya kanak-kanak mendapat
ole-ole di Sek Usman Awang
Hentian ketiga ialah di Sekolah
Menengah Agama (Arab) KT dan kami bertemu dengan En Md Khisban yang
bertanggungjawab di situ yang kami telah temui semalamnya. Di sana kami
tinggalkan beberapa kotak pakaian sahaja memandangkan sebelum itu pusat tersebut
telah dilawati oleh TV3 dan Astro yang membawa banyak keperluan. Walau
bagaimanapun En Khisban memberitahu kami bahawa kawasan kampung mungkin lebih
memerlukan bantuan memandangkan syarikat-syarikat besar tidak ke sana, dan
mencadangkan kami singgah ke Kg Semanggar dalam perjalanan pulang.
Berbincang dengan En Md Khisban
PM Dr Zin Kandar mencuba teknik
mengacau beras
Di Sekolah Arab ini juga kami bersua
dengan beberapa orang sahabat dari Haluan yang datang dari Kuala Lumpur untuk
menghulur bantuan. Mereka berkampung di sana dan membantu kerja-kerja
membersihkan rumah di kawasan yang telah surut.
Seterusnya kami tuju pula ke Sekolah
Kota Jaya tidak dari dari Sekolah Arab. Setelah berbincang dengan petugas di
sana barang-barang dari Pajero Jabatan Pelajaran diturunkan di sana. Semasa di
sana juga kami bertemu dengan YB Datuk Dr Adham Baba, Setiausaha Parlimen
Kementerian Pelajaran, yang juga Ahli Parlimen Kawasan Tenggara.
Berbual dengan YB Datuk Dr Adham
Baba
Setelah itu kami tuju ke Masjid Kota
Tinggi untuk solat 'Asar. Di Masjid terdapat lebih kurang sepuluh keluarga
mangsa banjir yang menumpang, tetapi pada waktu siang ramai yang pulang melihat
rumah masing-masing. Daripada perbualan kami dengan mereka, mereka perlukan
pakaian terutamanya untuk kanak-kanak. Kami juga tinggalkan beberapa kotak
untuk yang lain yang tiada di situ ketika itu.
Pengungsi yang di Masjid memilih
pakaian yang sesuai
Adik kecil memilih baju
Bergambar kenangan
Memandangkan masa sudah agak
lewat kami terpaksa bergerak cepat dari Masjid agar dapat menyampaikan bantuan
sebelum malam. Berdasarkan maklumat daripada En Khisban tadi kami
terus tuju ke Kg Semanggar Dalam yang sememangnya dalam perjalanan pulang pun.
Kami tiba di sana lebih kurang jam 6:25 petang dan disambut dengan gembira oleh
penduduk di situ.
Setelah berbincang dengan penginap
keperluan mereka tertamanya dengan Ketua Kampung, En Ahmad Siti, kami tinggalkan
lebih kurang separuh daripada barangan yang masih tinggal di sana, yang
merangkumi pakaian dan keperluan wanita dan bayi. Seorang ibu muda juga
memaklumkan bahawa bekalan makan bayinya yang berusia 4 bulan telah kehabisan.
Memandangkan kali ini kami tidak membawanya kami memberikan janji untuk cuba
mendapatkannya kemudian.
Bergambar ramai bersama penghuni pusat
penempatan di Kg Semanggar Dalam
Suasana di Sek Keb Kg Semanggar
Dalam
Memunggahkan kotak
bantuan
Pasangan muda Azli dan Ina dengan
bayi
Tok Ketua Kampung Kg Semanggar
Dalam, Tn Hj Ahmad Siti, juga memberitahu bahawa di surau yang
tidak jauh dari situ terdapat dua lagi keluarga yang menumpang. Setelah berada
di sana selama lebih kurang setengah jam kamipun berangkat pergi ke surau yang
disebut tadi dan memberikan bantuan yang sewajarnya. Dalam perjalanan di kiri
kanan jalan kami dapat melihat air banjir bergelinang di kebun dan kawasan
rumah.
Memandangkan gelap malam sudah
menyelubungi, kami terpaksa meminta diri untuk beredar meneruskan perjalanan ke
satu lagi kampung.
Antara rumah yang dikesani
banjir
Di Semanggar Luar
Mengedar bantuan di Surau Semanggar
Luar
Seterusnya kami bergegas menuju ke
destinasi terakhir di Kg Sg Telur di Jalan Kota Tinggi-Kulai. Oleh kerana malam
telah gelap dan bekalan letrik putus kami tak nampak keadaan di tepi-tepi jalan
dan beberapa kali kami tersilap jalan. Namun alhamduLlah setelah berhenti
bertanya dsb akhirnya kami sampai ke Masjid Kg Baru Sg Telur walaupun dalam
keadaan meraba-raba.
Setelah solat Maghrib berjamaah
sesama kami - jemaah di Masjid baharu sahaja selesai - kamipun berjumpa dengan
ahli jemaah dan menyatakan hasrat kami. Mereka memaklumkan bahawa di situ
terdapat tiga penempatan, iaitu di Masjid tersebut sendiri ada lebih kuarng
30-40 orang, di Kompleks Pertanian di tepi jalan tadi (ada lima keluarga, yang
kami tak perasan pun semasa masuk melalui jalan kampung tersebut kerana gelapnya
suasana), dan di sekolah tidak jauh dari situ, yang menempatkan lebih seratus
orang. Sekolah tersebut walau bagaimanapun terputus dari situ kerana banjir
tetapi boleh diakses melalui jalan besar luar.
Memunggah barangan untuk di tinggalkan
di Masjid Kg Baru Sg Telur
Beramah-tamah dengan penduduk
kampung
Bersama mereka yang mengungsi di
Masjid
Suasana di Masjid Kg Baru Sg
Telur
Setelah berbincang dengan orang
kampung keperluan mereka, kami tinggalkan di sana semua kotak bantuan yang
tinggal kecuali tiga yang mengandungi pakaian kanak-kanak yang mereka yang
perlukan. Barangan tersebut termasuk untuk diberikan kepada yang tiada di
situ ketika itu dan yang di Kompleks. Saya juga sempat terangkan kepada mereka
secara ringkas mengenai JIM, sebab ada yang keliru mula-mulanya ingatkan kami
dari Jakim, tambahan dalam gelap tersebut...
Ini merupakan hentian terakhir kami
malam tersebut. Setelah itu kami terus bertolak menuju ke Pusat Operasi untuk
mengejar mesyuarat operasi malam itu bagi membuat penilaian agihan bantuan
keesokannya. Kami sampai kembali di Desa Skudai jam 9:00 malam.
Laporan: Ainullotfi bin Abdul Latif, YDP JIM
Johor