DERU TENGAH MALAM ISNIN 15 JANUARI
AlhamduliLlah gerakan DERU II di Johor kini berjalan full swing sekali lagi, setelah DERU I dihentikan sebentar dahulu. Apakan daya, bak kata pepatah, disangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan dari tengah hari. Walaupun setelah tiga hari, keadaan di beberapa tempat seperti di Johor Bahru telah mula surut, di Kota Tinggi banjir pusingan kedua lebih teruk dari sebelumnya, malah bandar tersebut terputus langsung dengan dunia luar melalui darat, menjadi satu "pulau" yang besar.
Daripada keputusan yang dibuat pada mesyuarat malaman DERU pada hari Ahad setelah menilai keadaan banjir di seluruh negeri, satu tim DERU yang terdiri daripada empat orang yang diketuai sendiri oleh Pengarah DERU Johor, akh Salleh Kassim, telah digerakkan ke Kota Tinggi pada tengah hari Isnin membawa bekalan-bekalan yang perlu. Mulanya mereka bercadang menaiki bot bomba dari Batu 25, tetapi apabila mendapat khabar bahawa air Sungai Sayong telah surut pagi itu, maka mereka melalui laluan Sg Sayong memasuki Kota Tinggi dari barat laut melalui jalan ke Air Terjun.
Kira-kira jam 5:30 petang, semasa saya dan isteri menziarahi akh Dr Norkhair Ibrahim (TYDP JIM Johor yang sakit strok), Salleh menelefon saya meminta diaturkan penghantaran selimut, tikar, susu bayi dan lampin bayi, untuk Kg Gembut dekat dengan Sedili dengan segera, malam itu juga. Di sana terdapat lebih kurang 180 orang pengungsi yang lari dari banjir dan bekalan sukar dibawakan kerana jalan perhubungan banyak dilanda banjir. Oleh kerana kami tiada stok selimut dan tikar kami perlu membelinya dahulu. (Ketika ini saya dihubungi juga oleh Yati dari Mercy Johor menanyakan kalau kami ada tikar lebih, kerana beliau perlukan untuk dibawa ke Mawai. Namun kerana apa yang diperolehipun tidak mencukupi kami tak dapat penuhi permintaan tersebut.)
Salleh telah uruskan dengan isterinya, ukht Husnul Zanariah, supaya selimut dan tikar diperolehi dari Mydin di Bandar Baru Uda, sementara saya dan isteri, Dr Murni, mendapatkan yang lainnya dari kedai borong di Taman Universiti. Setelah itu kami pergi ke Pusat Operasi Banjir di Pejabat JIM untuk mengambil bekalan air minuman yang disumbangkan oleh seorang rakan siang tadinya dan bekalan pakaian untuk kanak-kanak yang juga dipinta oleh Salleh. Memandangkan banyak barang untuk dibawa, akh Shaharuddin Mohd Said juga bersetuju untuk pergi bersama membawa Unsernya, dengan ditemani oleh Ustaz Hairozi. Saya dan isteri sekereta disertai juga oleh ukht Aminah dari UTM. Destinasi kami yang seterusnya ialah ke Mydin bagi mengambil barangan yang dibeli di sana.
Hanya kira-kira jam 9:00 malam baru segala pengumpulan barang bekalan dapat dibereskan dan kami berangkat dari Tampoi. Kami berdua kenderaan yang penuh sarat lalu bergerak melalui Seelong dan Sg Sayong, satu-satunya jalan yang tidak putus ke Kota Tinggi setakat itu, walaupun agak jauh sedikit. Di beberapa tempat kami terpaksa melalui tanah runtuh yang menyempitkan jalan. Kami sampai di Kota Tinggi pada kira-kira jam 10:40 malam dan terus tuju ke Sek Keb Laksamana di mana tim awal DERU sedang menanti.
Setelah menyelesaikan beberapa urusan di sana kamipun bergerak ke Depoh JKR Kota Tinggi di mana sebuah lori sedang menunggu. Segala barangan dipindahkan ke dalam lori tersebut kerana kami harus tinggalkan kedua-dua kenderaan kami di situ. Prof Razman, Ustaz Hairozi dan Shaharuddin membonceng di belakang lori, sementara yang lainnya mengikut di dalam pickup Isuzu kepunyaan Nawawi yang dipandu oleh Salleh. Turut mengikuti ialah Cikgu Azizah Guru Besar Sek Keb Laksamana dan suaminya Bariman, untuk menunjuk jalan.
Kami bertolak dari Depoh JKR tersebut kira-kira jam 11:30 malam. Beberapa tempat dalam perjalanan ke Gembut sudah ditenggelami air jadi kami terpaksa mengikut jalan jauh, dan itupun harus menggunakan kenderaan yang lebih tinggi. Untuk keluar dari Kota Tinggi kami menggunakan jalan Kg Lukut dan jalan-jalan kampung. Kemudiannya kami harus detour ke selatan dahulu pula ke arah Bandar Penawar sebelum naik semula ke utara ke arah Sedili. Mulanya perjalanan sungguh enak. Saya, isteri dan ukht Rafidah duduk di belakang pickup tersebut menikmati langit yang cerah yang dihiasi oleh ribuan bintang sehinggalah saya pun terlelap.
Tiba-tiba terasa basah. Rupa-rupanya sudah hujan. Saya bangun melihat sekeliling; kami sudah melalui kawasan banjir. Kawasan di kiri kanan jalan dipenuhi air, malah di beberapa tempat jalan juga dilimpahi air sehingga sedalam sekaki. Kami risaukan takut barang-barang yang dibawa basah dek hujan. AlhamduliLlah keadaan tersebut tidak lama sangat. Kira-kira jam 1:30 pagi kami tiba di Sek Keb Gembut, dua jam perjalanan yang biasanya cuma mengambil dalam setengah jam sahaja mengikut laluan terus.
Di sana orang kampung sudahpun menunggu. Kami disambut oleh En Fuad Ketua Pusat Pemindahan, dan barang-barang segera dipunggah turun dalam hujan itu. Menurut En Fuad terdapat 192 orang di sana, termasuk beberapa orang musafir yang terperangkap tidak boleh keluar dari situ.
Saya lihat En Fuad begitu cekap menguruskan Pusat tersebut, memikirkan bukan sahaja keperluan semasa terperangkap tersebut tetapi juga memastikan agar bekalan cukup untuk bertahan lebih lama kiranya perlu. Menurut beliau kedudukan kampung tersebut yang agak terpencil menyusahkan bantuan darat datang, dan percubaan menggunakan helikopter juga beberapa kali gagal kerana angin yang kuat memandangkan kampung itu tidak jauh dari laut. Keadaan banjir kali ini bertambah teruk kerana air dari ulu bertembung pila dengan air dari laut yang pasang.
Kami berada di sana selama 45 minit, bermuayyasyah dengan mereka yang dikesani banjir dan mendengar luahan hati mereka. Kami bertolak keluar dari Kg Gembut pada jam 2:20 pagi dan tiba di Kota Tinggi semula dua jam kemudiannya. Seterusnya kami bertiga kenderaan bergerak terus pula untuk pulang ke Johor Bahru, meninggalkan ukht Rafidah dan ukht Ani di Sek Keb Laksamana, untuk bermalam di sana sahaja.
Kami tiba kembali di Skudai tatkala azan Subuh. Ini merupakan satu-satunya misi tengah malam DERU setakat ini.
Ainullotfi b Abdul Latif
YDP JIM Johor