Disaster and Emergency Response Unit (DERU)
PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH (JIM) NEGERI JOHOR
BANJIR BESAR KALI KEDUA
12 jANUARI 2007
(Lihat gambar di Bahagian Foto)
Dengan tak semena-mena, setelah kering beberapa hari, Johor kini dilanda banjir kembali. Ramai orang menyangka mentari yang bersinar dahulu akan kekal, dan trauma menghadapi banjir yang paling teruk dalam berpuluh tahun di negeri ini boleh ditinggalkan belakang sebagai catitan sejarah. Bagi kita yang bergerak sebagai sukarelawan DERU-JIM (Disaster and Emergency Response Unit, JIM) bagi membantu mereka yang diuji dengan banjir sejak tiga minggu yang lepas di seluruh negeri ini, surutnya air banjir dahulu membayangkan operasi besar-besaran yang dijalankan itu sudah boleh ditutup dan kita boleh kembali ke tugas rutin masing-masing, baik di pejabat, maupun di lapangan da'awah. Kita melihat suasana air yang paling teruk, dan terus berada di sana sehinggalah rumah-rumah dibersihkan dan pusat-pusat pemindahan dikosongkan, dan sekolah kembali digunakan untuk pengajaran. Namun, tanpa disangka, hujan kembali menderu pagi dan petang secara berterusan. Dengan sekelip mata rumah-rumah yang telah dibersihkan daripada lumpur dan air kini kembali terbenam. Penduduk kampung yang baru mahu kembali membina hidup daripada sisa-sisa peninggalan air yang lepas terpaksa pula berdepan dengan satu lagi bencana yang serupa, mengulangi satu lagi urutan peristiwa - dan trauma - yang sama. Memang encore! Di Skudai beberapa kampung sudah ditenggelami air malah separas bumbung. Back to square one. Penduduk di kampung-kampung tersebut telah semuanya dipindahkan. Sek Cina Pu Sze dan Sek Keb Batu 10 dibuka kembali untuk pengungsi. Beberapa kampung lain di Daerah Johor Bahru turut dilanda banjir, malah termasuk yang dahulunya tidak terkesan. Di Daerah Muar, kampung-kampung yang dahulunya kita bergerak kini sedang bersiaga bagi ancaman seterusnya. Khabarnya Empangan Bekok di huluan telah melimpah/dibuka. Mereka yang di hiliran cuma menanti. Apakan daya. Di Kg Jawa Lenga, ketika saya hubungi Ketua Kampungnya, En Sahar Sabino, pagi tadi, beliau menyebut keadaan air semakin naik, dan phobia orang kampung berulang kembali. Juga kami tadi sempat bertemu dengan Cikgu Mahmud Mustan, Ketua Kampung Gombang, yang kebetulan berada di Taman Desa Skudai di rumah anak saudaranya, berada di sini kerana membawa anaknya temuduga. Beliau memantau perkembangan dari jauh. Petang tadi khabarnya beberapa rumah di kampung berkenaan sudah dilanda banjir. Dengan keadaan hujan yang berterusan tak henti-henti, dan lebat pula, kita merasakan bahawa air macam tidak akan surut segera. Ini kena pula dengan air pasang di laut kini. Kita telah membuat keputusan untuk menggerakkan aktif kembali Operasi DERU-JIM. AlhamduliLlah Pusat Operasi telah digerakkan semula, dan insya ALlah petugas-petugas DERU akan bertemu untuk menghadapi krisis ini setiap malam selagi keadaan belum kembali kepada normal. Kita sedang menganggar keperluan sumber tenaga manusia dan matabenda tetapi memang kita menjangkakan keperluan keduanya besar juga. Kita juga cuba selaraskan dengan pihak berwajib dan agensi lain seperti Persatuan Bulan Sabit Merah dan Mercy agar capaian bantuan berlaku semaksimumnya dan agihan seoptimumnya. Namun apapun kita tidak mahu biarkan kerenah birokrasi pihak berwajib dan juga ketidakefisienan organisasi kita sendiri mengekang kerja dan menyekat bantuan dari disampaikan segera kepada yang memerlukannya. Untuk itu, semua ikhwah dan akhawat diminta membantu dan bertindak pantas. Keadaan di medan begitu cepat berubah, dan pengalaman kita sebelum ini banyak menunjukkan bahawa apa juga keputusan dan tindakan yang bertangguh atau lambat akan menjadi tidak relevan dan sia-sia. Sambutlah seruan atau ajakan ini dengan suatu sense of urgency. Jangan anggap bahawa orang lain akan langsaikan tanggungjawab ini; besar kemungkinan tiada! Jangan andaikan krisis ini akan selesai dengan sendirinya; tidak sekali-kali. Jangan fikirkan kita terlalu kerdil untuk membantu, kerana bersikap diam diri ketika kita diperlukan itulah sebenarnya tanda kekerdilan jiwa. Bantuan yang terbaik ialah bantuan yang datang tepat ketika ianya diperlukan, walau sebagaimana kecil sekalipun. Mereka diuji dengan air, kita diuji dengan sikap kita. Wassalam. Ainullotfi bin Abdul Latif YDP JIM Johor