Diari Hati: Banjir Di Johor – Sekadar Berat Mata Memandang?
Percutian selama 4 hari di Johor membuka hati saya untuk menyaksikan dengan mata kepala sendiri musibah yang sedang dihadapi oleh penduduk di Selatan Malaysia – banjir yang melanda sebahagian besar bumi Darul Takzim ini. Saya merasakan bahawa setakat mengikuti perkembangan berita yang dipaparkan oleh pihak media adalah tidak mencukupi. Timbul satu persoalan yang perlu kita fikirkan – adakah cukup sekadar merasa kasihan kepada mereka, sambil kita duduk bergoyang kaki tanpa melakukan apa-apa?
Hasil pelawaan seorang sahabat aktivis dakwah, saya berjaya meraih kesempatan berharga ini pada 21 Januari yang lepas. Saya berpeluang untuk terlibat sama menjayakan kerja-kerja kemasyarakatan kelolaan Disaster and Emergency Response Unit (DERU). DERU merupakan unit yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Johor, memfokuskan pada kewajipan membantu insan-insan malang yang ditimpa bencana. Usaha sebegini seharusnya digiatkan lagi demi menyantuni semua lapisan masyarakat – tanggungjawab yang dipikul oleh semua individu yang prihatin. Inilah didikan Islam – saling tolong-menolong di antara satu sama lain tanpa mengira status.
Seawal jam 9 pagi, kami berkumpul di Pejabat JIM Daerah Johor Bahru. Mewakili kontinjen JIM Johor Bahru, kami dikehendaki untuk berkumpul di Pejabat JIM Daerah Batu Pahat bagi mendengar taklimat penyelarasan tugasan. Menaiki sebuah Perodua Kembara, meluncur laju membawa kami berempat menuju ke Batu Pahat.
Setibanya di destinasi yang dituju, Yang Dipertua JIM Daerah Batu Pahat sedang berkongsi laporan komprehensif berkenaan kawasan-kawasan yang mengalami banjir. Tazkirah ringkas juga disampaikan – sebagai pembakar semangat para sukarelawan agar terus tabah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi membantu sesiapa yang memerlukan. Masih terngiang-ngiang di telinga ucapan yang cukup menginsafkan – “Allah menguji golongan yang dilanda banjir dan yang tidak dilanda. Kepada yang tidak dilanda banjir, Allah menguji sejauh mana kita bertindak untuk membantu golongan yang dilanda banjir.” Benar. Allah SWT Maha Bijaksana, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Agar kita berfikir, merenung dan mengambil iktibar untuk dijadikan pedoman mendepani takdir.
Jumlah sukarelawan, biarpun tidak mencecah ratusan orang sudah cukup mempamerkan semangat untuk memerah keringat di gelanggang masyarakat. Segenap masyarakat berjaya dikumpulkan – mahasiswa, belia, tokoh akademik, golongan profesional, kaum ibu, warga emas. Ada sukarelawan yang datang dari kejauhan ratusan kilometer – Selangor dan Kuala Lumpur . Alangkah indahnya jika setiap individu mempunyai kesedaran sebegini. Masing-masing mengambil peluang untuk menyimpul ukhuwwah yang bersemi di medan DERU.
Usai sesi taklimat, para sukarelawan sudah bersedia untuk bertolak ke destinasi yang telah ditetapkan. Berbekalkan berkotak-kotak limau dan juga lain-lain barang keperluan, para sukarelawan dikehendaki untuk menghulurkan bantuan selagi yang terdaya. Selain menyerahkan barangan bantuan, apa sahaja ‘kerja kosong’ yang mampu dilakukan – seperti memasak, membasuh, memberi tazkirah dan ucapan motivasi haruslah ‘diisi’ demi meringankan bebanan mangsa banjir.
Kenderaan kami terus dipandu laju menuju ke Kampung Parit Jayus di Seri Medan . Perjalanannya cukup panjang, memakan masa berjam-jam memaksa kami untuk singgah solat di Parit Sulong. Selesai menunaikan ibadah, kami sempat berbual dengan Penghulu yang mentadbir 22 buah kampung di sekitar kawasan tersebut. Menurut beliau, dari kesemua kampung yang diselianya, hanya Kampung Parit Puasa yang terselamat dari banjir. Maha besar ujian yang telah melanda para penduduk Batu Pahat, semoga kalian terus tabah mendepani dugaan ini.
Setelah mengisi perut di gerai berhampiran, perjalanan diteruskan. Suasana di dalam kereta cukup menggembirakan, apabila ‘orang yang berpengalaman’ sudi untuk berkongsi pelbagai pengalaman bersama ‘orang-orang’ muda. Bermacam-macam cerita dikongsikan – cerita dakwah, cerita Enjin, cerita Baitul Muslim, cerita di Australia dan banyak lagi. Alhamdulillah, banyak perkara yang saya perolehi hasil dari perkongsian yang cukup bernilai.
Sekitar jam 3.30 petang, kami tiba di Masjid Jamek Kampung Jayus. Hujan renyai-renyai. Suasananya begitu sunyi dan muram. Tidak berapa lama selepas itu, kami dijemput oleh penduduk kampung untuk menaiki pacuan empat roda. Keadaan jalan yang ditenggelami air tidak memungkinkan kenderaan kami untuk tiba di Kampung Parit Jayus 4 dengan selamat.
Berada di atas kenderaan Nissan itu mengizinkan saya untuk melihat keadaan sebenar banjir yang berlaku. Begitu kritikal dan kebanyakan rumah ditenggelami air. Hati saya begitu terusik lantas terlintas di fikiran – berapa banyakkah sumbangan yang diterima oleh para penduduk? Adakah mencukupi? Situasi yang mereka alami amatlah sukar. Bayangkan apabila seisi rumah kita dinaiki air, kenderaan dimasuki air, barangan keperluan dan barangan elektrik turut terjejas. Pastinya kita juga merintih dan mengharapkan bantuan dari sesiapa pun. Ayuh, kita bantu mereka yang memerlukan!
Suasana Muram, Penduduk Ceria
Ketibaan kami di pusat pemindahan disambut meriah oleh penduduk kampung. Kami benar-benar rasa terhormat dengan layanan yang diberikan. Walaupun bersedih dengan bencana yang menimpa, namun mereka tetap tersenyum dan gembira meraikan kedatangan kami. Sehingga ada yang ingin ‘memayungkan’ kami, padahal hujan yang turun tidaklah selebat mana.
Inilah sebenarnya yang dikatakan bahawa penduduk Malaysia peramah belaka. Namun begitu, jarang situasi sebegini dapat dilihat di kota-kota metropolitan. Mungkinkah nilai-nilai murni, seperti rasa muhibbah dan saling menghormati kian luntur lantaran kepentingan mengejar harta kekayaan? Tanyalah diri kita sendiri. Bagaimana dengan hubungan kita sesama masyarakat? Sejauhmana kepedulian kita terhadap musibah yang menimpa individu-individu di sekeliling kita?
Apa yang pasti, penduduk Kampung Parit Jayus 4 peramah belaka!
Prinsip Islam Tidak Luntur Dek Banjir
Jiwa saya turut terpaut dengan sikap para penduduk kampung yang setia berpegang pada syari’at yang telah digariskan di dalam Islam. Apabila kami dikehendaki untuk masuk ke dalam dewan yang dihuni wanita demi memberi sepatah dua untaian motivasi, tampak semuanya sudah manis bertudung. Betapa mereka memelihara aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi. Nampaknya, banjir yang menekan tidak menjadi alasan bahawa kaum hawa tidak dapat melindungi kehormatannya.
Pengasingan tempat penginapan antara lelaki dan perempuan juga adalah satu usaha yang sangat dipuji. Di sesetengah kawasan, perkara sebegini tidak diambil kira – dengan alasan untuk membenarkan satu keluarga untuk tinggal bersama. Tidak dinafikan bahawa alasan ini cukup konkrit, tetapi harus dinilai dari segenap aspek. Percampuran tempat tinggal antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram sebenarnya lebih menyulitkan. Apatah lagi menjadi kewajipan bagi setiap yang beragama Islam untuk menjaga aurat, dan pastinya begitu sukar untuk melaksanakannya di dalam suasana yang bercampur-baur di antara lelaki dan perempuan yang halal untuk dikahwini.
Apresiasi Oleh Ketua Kampung
Haji Ahmad selaku Ketua Kampung Parit Jayus 4 berasa sangat terhutang budi dengan kehadiran kami dan juga lain-lain sukarelawan dari pelbagai badan dan pertubuhan, memandangkan kampung tersebut sebenarnya agak ‘tersorok’ di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, terdapat 482 mangsa, terdiri dari 99 keluarga yang mendaftar untuk mendapat makanan di pusat pemindahan ini. Jumlah yang agak besar. Walaubagaimanapun, beliau amat bersyukur kerana bantuan yang diberikan tidak putus-putus, tanda keprihatinan pelbagai golongan yang sentiasa memikirkan tentang nasib yang menimpa suatu komuniti.
Semoga akan datang lebih ramai lagi golongan seperti ini!
Sekitar jam 6.20 petang setelah dihantar semula ke Masjid Jamek Kampung Parit Jayus menaiki lori, kami terus pulang ke Johor Bahru. Pengalaman sulung sebegini telah saya perolehi, membina rasa keprihatinan di dalam diri agar terus turun di dalam gelanggang masyarakat, memberi bantuan setakat yang terdaya selagi diperlukan. Inilah yang telah diajarkan di dalam Islam – sikap saling tolong menolong di antara satu sama lain. Adakah kita telah melaksanakan tuntutan ini?
Adakah kita sekadar berat mata memandang, tanpa memikul sedikit pun beratnya tribulasi yang dialami? Mungkin ya, mungkin tidak. Menyumbanglah kepada masyarakat selagi nyawa dikandung badan.
Hulurkan sumbangan anda dengan membuat pembayaran cek/kiriman wang atas nama "Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia ".
Atau masukkan ke akaun JIM Johor di Bank Islam Malaysia Berhad, no. 01014010010372 dan maklumkan kepada Sdr Ainullotfi Abdul Latif, YDP JIM Johor (012-7113785) atau Sdr Abdul Razak Jambari, Bendahari JIM Johor (012-7010489) .
DERU juga mengalu-alukan sumbangan pakaian terpakai (yang masih elok) kerana ramai mangsa yang tinggal sehelai sepinggang. Sila hantar ke Pejabat JIM Johor di alamat berikut. Kedudukannya di tingkat atas Kedai Runcit Teng, di lot hujung barisan kedai sebelah Stesen Minyak Shell.
31A Jalan Harmoni 12
Taman Desa Skudai
81300 Skudai
Johor
Layari http://www.freewebs .com/jimderu/
*Kredit dan sejambak penghargaan buat Dr. Kamarul Bahrin dan Sdr. Md. Nor dari JIM Johor, dan Sdr. Mohd Hafiz dari Karisma Johor.
"What actions are most excellent? To gladden the heart of a human being,
to feed the hungry, to help the afflicted, to lighen the sorrow of the sorrowful,
and to remove the wrongs of the injured." (Sahih Muslim)
http://dhanysarip.blogspot.com