Disaster and Emergency Response Unit (DERU)

PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH (JIM) NEGERI JOHOR

CATATAN DERU PERDANA 1

Hujung minggu baru-baru ini menyaksikan program besar-besaran DERU Perdana yang disusun oleh JIM Johor di lima buah kampung di dalam Daerah Batu Pahat, iaitu di Kg Parit Jayos 3 (SK Sejagung), Kg Parit Jayos 4, Kg Parit Basri, Kg Lapis Bangas (keempat-empatnya di Seri Medan), dan Kg Seri Tanjung (di Seri Gading).

Program ini diatur ekoran daripada beberapa siri lawatan membawa bantuan banjir ke kampung-kampung berkenaan sebelum itu, setelah suatu hubungan yang akrab dan mesra terjalin di antara petugas-petugas DERU dengan orang kampung. Secara konsepnya, seperti yang telah dipersetujui bersama dengan ketua setiap penempatan sementara, selain daripada membawa barangan bantuan banjir, JIM juga mengaturkan program keceriaan kanak-kanak, gotong-royong membersihkan kemudahan awam, khemah kesihatan, program motivasi remaja, ceramah multimedia dan qiyamullayl. Di samping itu juga kita menyerahkan bungkusan bekalan makanan asas untuk setiap keluarga untuk dibawa pulang, memandangkan kita menjangka banjir akan tamat minggu ini dan pusat penempatan sementara akan ditutup.

Kami mula berkumpul di Pejabat JIM Johor di Desa Skudai pada jam 8:30 pagi pada hari Sabtu 27 Januari. Setelah memuatkan kenderaan kami dengan barangan yang perlu dibawa dari sana, kira-kira pada jam 9:20 pagi kami mula berkonvoi menuju ke Pejabat JIM Batu Pahat di Air Hitam, dan sampai kira-kira 45 minit kemudiannya. Di sana tim JIM Batu Pahat sudah menunggu, bersama-sama dengan tim daripada Fakulti Perhutanan UPM dan juga daripada syarikat Maju Konkrit dari Seremban, yang akan menyertai misi kami hari itu.

Tim sukarelawan daripada Fakulti Perhutanan UPM seramai 20 orang tersebut diketuai oleh Dekannya sendiri, Prof Dr Mohd Hamami Sahri dan dibantu oleh Prof Madya Kapt Dr Zaki Hamzah, Ketua Jabatan Pengeluaran Hutan. Mereka telah sampai ke Air Hitam tersebut kira-kira jam 4:00 pagi lagi, setelah mula bertolak malam sebelumnya, dan disambut oleh sdr Masiri Kaamin yang membawakan mereka ke Pejabat JIM. Tim ini juga membawa bersama mereka 100 pek toiletries yang dibungkus elok dalam beg-beg Fakulti Perhutanan UPM.


Sedang kami mempersiapkan barangan untuk dibawa tim daripada Unit Khimat Ummah dari Surau al-Amin, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, dengan 3 pickup 4wd membawa kira-kira 15 orang sukarelawan, pula tiba. Tim yang diketuai sendiri oleh Tn Hj Ahmad Shaari, Pengarah Unit Khidmat Ummah (UKU), tersebut merupakan tim khas khidmat sajian, dan membawa bersama mereka segala peralatan dapur yang diperlukan untuk tugas tersebut, termasuk periuk belanga, tungku dapur dan juga gasnya sekali, di samping barang makanan mentah untuk dimasak. Selain daripada itu satu lori berisi 100 kotak pakaian menyusul kemudiannya (untuk dibahagikan ke Labis juga selain dari Batu Pahat). Perantara UKU dengan kami ialah sdr Zulkefli Hj Ahmad, yang merupakan Setiausaha Surau dan juga Setiausaha JIM Kuala Lumpur. Satu yang kelakar ialah Dr Zaki dari UPM juga ahli kariah Surau tersebut, dan beliau tidak dapat bersama tim surau ke Johor kerana mengikuti tim UPM. Hanya apabila mereka bertemu di Air Hitam baru mereka mengetahui bahawa kedua-dua tim sebenarnya mengikuti misi yang sama!


CATATAN DERU PERDANA 2

Suasana di sekitar Pejabat JIM tersebut pagi itu begitu meriah apabila kami mula membahagi-bahagikan bekalan, termasuk makanan basah yang akan dimasak, untuk dibawa ke setiap kampung di atas jalan itu sahaja (kawasan itu masih baru lagi dan tiada penghuni lain, jadi seluruh jalan tersebut kira kita punyalah). Bayangkan keadaannya dengan lebih seratus sukarelawan dan barangan untuk beratus-ratus penduduk kampung yang terhimpun dan perlu diuruskan! Namun alhamduliLlah semua pihak memberikan kerjasama yang sebaiknya dan akur kepada arahan pihak DERU. Semua sukarelawan juga dibahagi-bahagikan kepada lima mengikut bidang 'kepakaran' masing-masing, supaya setiap tugas dapat dilaksanakan dengan baik, dan setiap tim dapat 'merasa' suasana di setiap kampung di mana mungkin.
Kemudiannya semua sukarelawan dipersilakan naik ke Pejabat JIM untuk bersama menikmati makanan tengah hari yang telah disiapkan. Apapun, kita tidak mahu orang kampung kelak dibebankan untuk memikirkan mengenai makan-minum kami pula, jadi elok kalau kita bereskan ini terlebih dahulu sebelum sampai ke sana. Sambil mereka makan, saya selaku YDP JIM Johor menyambut kesemua sukarelawan secara rasmi ke program itu dan memberikan taklimat mengenai objektif dan susunan program yang akan dilaksanakan dua hari tersebut. Sdr Salleh Kassim selaku Pengarah DERU Johor kemudiannya menyambung taklimat saya.
Semua sukarelawan dibahagikan kepada lima kumpulan di bawah ketua masing-masing. Kumpulan ke Kg Seri Tanjung diketuai oleh sdr Roslan Abdul Hamid, YDP JIM Daerah Batu Pahat. Turut menyertai tim ini ialah Prof Dr Mohamed Ikram Mohamed Salleh dari CUCMS (beliau juga Timbalan Presiden Mercy Malaysia) sebagai pegawai perubatan yang bertugas di sana. Kampung tersebut agak kecil, mengandungi 25 keluarga sahaja, maka tim ke sana kecil juga. Oleh kerana kampung tersebut ke arah Seri Gading di jalan ke bandar Batu Pahat, berbeza dengan kampung lain yang di Seri Medan, mereka pergi dahulu berasingan.
Tim ke Kg Lapis Bangas diketuai oleh sdr Aminuddin Alias, YDP JIM Daerah Johor Bahru, dengan dibantu oleh Prof Mohd Zainal Mohd Yusof dan doktornya Prof Dr Abdul Latiff Mohamad. Sdr Masiri Kaamin memimpin tim ke Kg Parit Basri, bersama Dr Radhi dan juga Prof Dr Hamami dari UPM. Tim daripada UKU Surau al-Amin keseluruhannya juga pergi ke Kg Parit Basri bagi mengendalikan penyajian di sana.
Sdr Mohd Nor Daud mengetuai tim ke Kg Jayos 3 (di Sek Keb Sejagung), dengan dibantu oleh sdr Salim Jamiun, Dr Asmadi sebagai pegawai perubatan, dan Prof Madya Dr Zaki Hamzah dari UPM, dan Dr Khalid Hasnan mengetuai tim ke Kg Parit Jayos 4, dengan dibantu oleh sdr Zainal Abidin Sidi, Ketua Pusat Operasi DERU Johor, dan Dr Murniati Mustafa sebagai pegawai perubatan (yang disertai kemudiannya juga oleh Dr Al-Amin).
Pelajar-pelajar CUCMS dibahagikan kepada empat kampung di Seri Medan, kecuali satu kereta yang pergi ke Kg Seri Tanjung. Di samping itu juga tim akhawat dari Iman ELC (Tadika Iman) dari Johor Bahru dan Batu Pahat yang siap dengan 'uniform' T-shirt labuh berwarna coklat-kuning juga dibahagikan kepada setiap kampung bagi membantu mengendalikan program keceriaan kanak-kanak, begitu juga ikhwah dan akhawat dari JIM Johor Bahru, Batu Pahat, Ulu Langat, Gombak, dan Kuala Lumpur.
Saya sendiri bersama sdr Salleh Kassim dan tim Sekretariat DERU menjelajah dari satu kampung ke yang lainnya agar dapat memberikan sentuhan DERU JIM Johor kepada semua kampung tanpa menyisihkan mana-mana kampung, di samping memantau kelicinan pelaksanaan program keseluruhannya.

CATATAN DERU PERDANA 3

Dari Air Hitam kami berkonvoi mengikut kumpulan masing-masing menuju ke destinasi masing-masing. Saya mengikuti konvoi ke Kg Parit Jayos 4 terlebih dahulu kerana membawa isteri saya Dr Murniati yang akan berkhidmat di sana, dan meninggalkan kereta di sana. AlhamduliLlah semua jalan sudah boleh dilalui, walaupun Jalan Parit Warijo di antara pekan Seri Medan dan kawasan Parit Jayos masih dibanjiri sedalam sejengkal atau lebih sikit. Khabarnya kumpulan ke Kg Lapis Bangas perlu meninggalkan kenderaan mereka di pekan Seri Medan (di Warung Wak Sahlan) kerana air agak dalam sedikit di jalan ke sana dari Seri Medan, dan mereka diambil oleh lori orang kampung untuk dibawa ke dalam. Bas CUCMS yang ditugaskan ke sana bagaimanapun boleh lalu dengan selamat.

Kami berkonvoi menuju destinasi masing-masing. Selepas Parit Warijo tim ke Kg Parit Basri berpecah dengan yang lain untuk ke kampung tersebut. Jalan-jalan kampung yang kami lalui begitu sempit sehinggakan menyukar laluan bas, terutamanya apabila membelok di simpang atau berselisih dengan kenderaan lain dari depan. Namun akhirnya konvoi kami sampai juga ke Kg Parit Jayos 4 pada kira-kira jam 3:00 petang, walaupun sejam lewat dari sepatutnya.


Oleh kerana bas tidak boleh berpusing di depan dewan tempat pemindahan sementara banjir, kami menurunkan penumpang dan barangan di atas jalan sahaja. Mujurlah kampung tersebut kampung terakhir di jalan tersebut dan tiada kenderaan lain yang mahu lalu. Dengan segera anggota-anggota misi membuat rantai bagi menyalurkan barangan dari bas ke dewan dan dikumpulkan mengikut kategori. Kemudian bas pergi membuat pusingan jauh ke depan di mana terdapat ruang untuk berpusing, supaya boleh pergi membawa pelajar-pelajar CUCMS lain ke Sek Keb Sejagung di Kg Parit Jayos 3 pula.


Pada masa yang sama saya meminta Dr Khalid yang menjadi ketua misi di kampung tersebut memperkenalkan saya dengan Ketua Kampung, Encik Ahmad. Kg Parit Jayos 4 ini merupakan satu-satunya kampung di sana yang belum sempat saya lawati lagi sebelum ini.


Oleh kerana kami telah agak lewat saya meminta agar semua barang makan untuk dimasak bagi makan malam tersebut dibawa terus ke khemah dapur dan kerja memasak dimulakan segera. Malah orang kampung telahpun bermula memasak sebelum kami tiba lagi. Sdr Zainal Abidin Sidi dan pasukan bagi menyediakan makanan memulakan tugas mereka bersama-sama dengan orang kampung.


Dalam pada itu isteri saya Dr Murniati mula menguruskan agar klinik dapat dimulakan segera. Memandangkan ketika itu staf daripada Hospital Permai di Tampoi juga berada di sana bersama dengan sukarelawan mereka untuk membuat kaunseling dan penilaian berkenaan dengan keadaan psikologi orang-orang kampung yang dikesani banjir, beliau tidak mahu mengganggu program mereka dan menunggu dahulu. Pelajar-pelajar CUCMS telahpun dibahagikan untuk membantu beliau, termasuk bagi membantu membuat pendaftaran, melakukan pemeriksaan awalan seperti mendapatkan tekanan darah, dan kemudiannya memberi ubat (dilakukan oleh pelajar farmasi).

Sebelum lama, telah ramai orang kampung yang berhimpun untuk membuat pemeriksaan kesihatan, terutamanya wanita.
Sementara Dr Al-Amin  bersama tim pelajar-pelajar CUCMS membuka satu lagi klinik di khemah di luar dewan, untuk kaum lelaki pula.

Selari dengan itu juga tim akhawat Tadika Iman mula membuat program untuk anak-anak di dalam dewan, dengan dibantu oleh pelajar-pelajar CUCMS yang lain. Hingar bingit juga dewan tersebut dibuatnya dengan teriakan ceria anak-anak. Malah ibu-ibu juga turut menumpang ceria sambil duduk berhampiran memerhatikan telatah anak-anak.


CATATAN DERU PERDANA 4

Tidak lama kemudian sdr Salleh Kassim tiba dengan pickup Isuzu kepunyaan sdr Nawawi yang sudah menjadi trademark DERU di kampung-kampung itu. Turut mengikuti beliau ialah Prof Madya Dr Nordin Yahya, sdri Rafidah dan sdri Ani yang bertindak membantu Salleh dalam sekretariat DERU, termasuk mengawal perbekalan dan juga agihan duit. Bagi Nordin, ini pertama kalinya beliau menDERU di Batu Pahat bagi gelombang kedua ini setelah begitu banyak bertugas outstation dan juga luar negara. Sdr Salleh mencadangkan supaya kami seterusnya pergi ke Kg Seri Tanjung petang itu bagi melawat dan memantau perjalanan program di sana terlebih dahulu, memandangkan ia kampung yang paling jauh sekali dari yang lain.

Kami berlima satu pickup mengambil jalan keluar melalui Kangkar Senanggar dan seterusnya ke Parit Sulong untuk melihat sendiri keadaan di bandar Parit Sulong, dalam perjalanan ke Kg Seri Tanjung. Memang sah jalan di bandar itu sudah kering; dahulu antara jalan utama yang dalam dilanda banjir dan memutuskan perhubungan di antara pusat-pusat utama di sekitar daerah Batu Pahat ialah di situ. Selepas pekan Parit Sulong kami membelok masuk ke jalan Parit Jamil ke arah Tongkang Pecah. Di beberapa bahagian jalan masih berair walaupun tidak dalam, tetapi kampung dan ladang di kiri dan kanan jalan banyak yang masih tenggelam. Dr Nordin yang duduk di bahagian belakang pickup terlambung-lambung juga apabila kami kawasan jalan yang sudah rosak berlubang sambil meredah air.


Kami sampai agak lewat petang juga, dalam jam 6:40. Penempatan sementara di Kg Seri Tanjung ini agak unik kerana ia merupakan satu perkhemahan besar. Mungkin sebab itu penempatan ini tidak diiktiraf oleh pihak berwajib untuk gelombang kedua banjir ini (walaupun diiktiraf ketika gelombang pertama) dan perlu mengurus sendiri. Beberapa hari lepasnya orang kampung telah menambah satu khemah besar baru bagi ruang tamu dan legar, siap dengan TV sekali. Setiap keluarga diperuntukkan sebuah khemah kecil 4-5 orang yang diletakkan di dalam khemah-khemah besar (marquee) itu. Saya rasakan keadaannya lebih selesa kerana punyai lebih privacy, terutamanya untuk kaum wanita, berbanding dengan tinggal di dewan sekolah. Khabarnya semua khemah besar itu kepunyaan sdr Norahiman, Ketua Penempatan Sementara itu.


Ketika kami tiba aktiviti di sana banyaknya sudah selesai, kerana penduduknya cuma 135 orang, dalam 23 keluarga sahaja. Sekumpulan daripada Jamaah Tabligh baru sahaja berangkat pulang daripada menziarah. Para sukarelawan DERU sedang bersantai dan berbual bersama dengan penduduk tempatan, selain daripada yang sedang menyediakan masakan (makanan, alhamduliLlah cukup). Pegawai perubatan yang bertugas di sana ialah Prof Madya Dr Mohamad Ikram Mohamad Salleh, dan dibantu oleh lima orang mahasiswa CUCMS sahaja; mereka sudahpun selesai melakukan pemeriksaan perubatan untuk penduduk kampung. Sambil berbual bubur sumsum yang baru dimasak juga dihidangkan - memang sungguh enak. Bagi yang teringin, sup juga sudah siap dimasak.


Kira-kira jam 7:00 petang satu majlis singkat diadakan, dengan dipengerusikan oleh Cikgu Zainal, Setiausaha Pusat. Saya telah diminta untuk memberikan sedikit ucapan ringkas bagi pihak JIM. Seterusnya paket-paket wang untuk kanak-kanak sekolah rendah ke bawah telah diedarkan. Terdapat 45 orang kanak-kanak kesemuanya di sana. Akhir sekali pek bungkusan bekalan makanan diserahkan secara simboliknya kepada sdr Norahiman, sebagai sumbangan yang dibawakan oleh DERU JIM kepada setiap keluarga yang dikesani banjir.


Sejurus sebelum Maghrib tim kami bersalam-salaman dengan semua yang di sana dan meminta diri untuk pergi ke Kg Parit Basri pula. Sdr Masiri yang menjadi Ketua Misi ke sana telah beberapa kali mengingatkan kami mengenai program yang telah diatur di sana malam itu, agar kali berada di sana sebelum jam 9:00. Sejurus sebelum kami keluar, Ustaz Suhaimi Jeri yang akan memberikan tazkirah malam itu tiba. Kami amat risau tadinya, takut beliau tidak menjumpai penempatan tersebut dalam gelap-gelap itu.


CATATAN DERU PERDANA 5

Ketika kami sampai ke Sek Keb Sri Sejati di Kg Parit Basri keadaan agak lengang kerana orang kampung sedang bersiap dan solat Maghrib. Petugas-petugas daripada Unit Khidmat Ummah Surau al-Amin masih berada di kantin berkemas selepas menyediakan makan malam tadinya. Kami dipersilakan menjamu selera di situ. Petugas-petugas di situ risau kerana makanan masih banyak lagi, kerana tidak sepenuhnya orang kampung yang datang makan sebelum Maghrib tadi. Saya menjelaskan bahawa memandangkan air telah banyak surut ketika itu ramai orang kampung pulang melihat rumah masing-masing dan besar kemungkinan juga bersiap di sana dulu. Mereka akan datang kemudian, terutamanya bagi menghadiri majlis penutup Pusat Pemindahan  Banjir malam itu.
 
Elok setelah selesai makan azan Isya' pun berkumandang. Saya, sdr Salleh dan Dr Nordinpun pergi ke surau sementara di bilik darjah di tingkat atas sekolah tersebut. Ustaz Jailani, bekas guru agama (pencen) di Sek Teknik yang tinggal di kampung tersebut, baru selesai memberikan tazkirah Maghrib sebelum itu tadi. Tuan Haji Bakri Nawawi, Setiausaha JKKK Rangkaian Kampung tersebut dan Ketua Pusat Penempatan Sementara di situ, juga berada di situ, jadi sayapun terus berjumpa dengan beliau. Beliau gembira melihat kami sampai. Kami menjama' ta'akhirkan Maghrib kami dan menyertai solat Isya' berjamaah.
 
Selepas solat kamipun turun kembali ke bawah. Di dewan di bahagian bawah blok yang sama persiapan sedang dibuat bagi majlis malam itu. Kami pergi ke kantin dan bertemu dengan orang-orang kampung yang baru tiba dari rumah dan makan malam di situ, bertanya khabar. Ramai yang memang telah mengenali kami sejak misi sebelum itu lagi. Saya juga berjumpa dengan Ustazah Salwa, bekas pelajar Ustaz Mohd Isa di Maktab Perguruan dahulu yang mula-mula sekali memaklumkan keadaan banjir di kampungnya kepada Ustaz.
 
Kira-kira pada jam 9:30 malam pengumuman dibuat melalui sistem PA supaya semua orang berkumpul di dalam dewan kerana majlis mahu dimulakan segera. Tuan Haji Suraji Simbon yang menjadi pengerusi majlis memang cukup ceria orangnya, tak sudah-sudah dengan madahnya. Untuk memulakan majlis Ust Jailani membacakan doa dan kemudiannya diikuti oleh bacaan al-Qur`an oleh seorang kanak-kanak. Seterusnya Tn Hj Bakri memberikan ucapan aluannya, dan beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan dan NGO yang telah memberikan bantuan kepada penduduk kampung tersebut.
 
Selepas itu saya pula dijemput memberikan ucapan bagi pihak JIM, dan seperti biasa saya tekankan bahawa banjir itu merupakan ujian ALlah ke atas kita semua, baik yang kena banjir ataupun yang tidak kena - yang tidak kena, bagaimana kita merespon terhadapnya. Saya juga sebutkan impresi pertama kami apabila mula sampai di kampung tersebut sebelum itu, betapa kami melihat suasana kampung yang begitu utuh dan perpaduan yang irat, di samping pula menjaga tatasusila Islam walaupun dalam keadaan yang getir seperti itu. Akhirnya saya harapkan hubungan yang telah terjalin berdasarkan ukhuwwah Islamiyyah semata-mata itu dapat berterusan hatta sehingga setelah banjir surut dan keadaan kampung kembali kepada normal.
 
Setelah ucapan saya satu persembahan nasyid disampaikan oleh anak-anak putri sekolah tersebut. Saya cukup kagum dengan kesungguhan dan kreativiti pihak kampung; saya dimaklumkan nasyid tersebut baru dinukilkan hari itu juga khusus untuk majlis malam tersebut. Lebih terharu lagi apabila saya membaca liriknya seperti berikut:
 
    PERPISAHAN BANJIR
 
    Dengan Bismillah kami mulakan
    Malam perpisahan di malam ini
    Semoga selamat kami pohonkan
    Mudah-mudahan Allah merestui
 
    Setiap malam petang dan pagi
    Bantuan banjir sentiasa diberi
    Nikmat Allah kami syukuri
    Ingatan kami kekal abadi
 
    Kepada Allah kami bersyukur
    Di waktu banjir dimurahkan rezeki
    Hidup kami bertambah makmur
    Para dermawan membantu kami
 
    Pucuk pauh delima batu
    Anak sembilang di tapak tangan
    Jamaah Islah datang membantu
    Jasa yang baik dilupa jangan
 
    Jamaah Islah sungguh budiman
    Menjenguk kami tanpa rasa bosan
    Jutaan ampun kami pohonkan
    Selamat berpisah kami ucapkan.
 
Khabarnya senikata telah dicipta oleh salah seorang nenek yang berada di pusat tersebut.
 
Kemudiannya Tuan Haji Rustam Mohd Idris, Timbalan Pengarah Unit Khidmat Ummah (UKU), Surau al-Amin, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, telah menyampaikan paket wang kepada semua kanak-kanak sekolah rendah di pusat tersebut. Pengarah UKU, Tuan Haji Ahmad Shaari, terpaksa pulang awal ke Cheras malam itu juga kerana mendapat berita bahawa anaknya sakit. Surau al-Amin menyumbang sebanyak 300 paket yang berisi RM5 setiap satu untuk kanak-kanak bagi seluruh program di lima kampung hujung minggu tersebut, manakala selebihnya datang dari JIM sendiri.
 
Di akhir majlis saya telah menyampaikan bagi pihak JIM secara simbolik pek bungkusan makanan keluarga, kepada wakil-wakil daripada tiga kampung yang ditempatkan di Sek Keb Sri Sejati tersebut. Kesemuanya sebanyak 80 pek telah diberikan.
 
Selepas daripada majlis penutup rasmi, satu ceramah multimedia bertajuk "Permata Keluarga: Suatu Perkongsian" telah disampaikan oleh Ustazah Rozita bt Hj Osman, yang juga isteri kepada sdr Masiri Ketua Misi DERU di kampung tersebut. Pada masa yang sama satu acara selari lain telah dijalankan untuk kanak-kanak, yang dikendalikan oleh akhawat Tadika Iman dan dibantu oleh pelajar-pelajar CUCMS dan UPM.
 
Kami tidak menunggu sehingga tamat program. Kira-kira pukul 10:50 malam saya, Salleh dan Dr Nordin terpaksa meminta diri untuk pergi ke Kg Lapis Bangas pula.

Create a free website at Webs.com