Disaster and Emergency Response Unit (DERU)

PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH (JIM) NEGERI JOHOR

Diari DERU Batu Pahat 18 Jan 2007

Oleh Sumilah Marto, Ketua Wanita JIM Negeri Johor

18 Jan 2007, detik yang dinanti dengan penuh debaran oleh warga Johor kerana diramalkan air laut pasang besar akan berlaku!

Diari DERU saya hari ini bermula jam 9 pagi. Memandangkan ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan, tiada dalam perancangan diari saya untuk menDERU keluar kawasan, cuma merancang untuk berada di Pejabat Operasi sahaja. Apatah lagi kepenatan menDERU ke Kota Tinggi sehari sebelumnya masih terasa. Oleh kerana tugas saya dalam DERU adalah sebagai Pengurus Bekalan di samping isteri kepada ‘Menteri Kewangan DERU’, saya menguruskan penghantaran barangan bernilai RM2000 yang telah dipersetujui dalam mesyuarat untuk pergerakan hari ini.

Pesanan telah dilakukan pukul 11.30 malam sebelumnya dari Pasaraya yang dipunyai oleh seorang ahli JIM …. PASARAYA BISTARI…Ini banyak memudahkan kerja-kerja pembelian barang sepanjang operasi DERU Johor dijalankan.. Terimakasih daun keladi kepada Ukhtie Afidah Aman dan suami, Che Mi kerana banyak membantu…memberi harga diskaun, menghantar ke Pejabat Operasi, memberi kotak untuk pembungkusan, bersiap sedia menerima tempahan hatta di tengah malam di samping menyerahkan sumbangan dari pelanggan mereka! Moga Allah terus melimpahkan keberkatan dalam urusan perniagaan dan juga kehidupan sekeluarga!

Misi pertama pagi ini ialah membuat pembungkusan. Sempat menghubungi beberapa orang akhwat untuk membantu selain dari tenaga ikhwah yang bersedia untuk misi hari ini. Kali pertama melihat ramai ikhwah terlibat dalam pembungkusan… .hmmm….seronok juga….sayang terlupa bawa kamera pagi ini.
Selesai pembungkusan dan membuat kiraan tenaga yang akan bergerak hari ini, cuma tinggal dua orang akhawat sahaja iaitu Kak Yasmin dan K.Roziah. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk turut bersama.

Di saat genting untuk membuat keputusan begini, saya selalu teringatkan motivasi dari dalam diri yang selalu diucapkan bersama keluarga:
“Kita ni sibuk macam mana pun, tak sempat macam mana pun, masih dapat tidur nyenyak di tempat yang selesa dan empuk. Masih dapat makanan yang lazat, masih dikelilingi harta benda yang banyak. Tetapi apakah yang ada pada mereka yang sedang ditimpa ujian sebegini hebat”.
Terimakasih kepada K.Rozi dan keluarga yang telah membantu saya menyelesaikan urusan-urusan penting bagi hari ini. Inilah indahnya hidup secara berjamaah! Susah senang dirasai bersama. Tiada halangan yang tidak dapat diselesaikan, asal saja kita mahu…

Kami bergerak ke Batu Pahat pada pukul 12 tgh seramai 11 orang menaiki tiga buah kenderaan; Inova yang dipandu oleh Dr Hishamudin, Van yang dipandu oleh Akhi Zaidon dan MPV yang dipandu oleh Akhi Hasni beserta barangan keperluan. Bertemu di Pagoh dengan team Akhi Masiri dari BP sekitar 2.30 ptg setelah mengisi tenaga dan solat Zohor/Asar di Machap.

Kami diberitahu oleh Akhi Masiri misi hari ini ialah menyambung misi semalam. Lalu kami seramai 15 orang bergerak ke kawasan Sri Medan. Dari situ kami berpecah kepada dua kumpulan, satu ke Kg Baru dan satu lagi ke Pt Jayus 4. Jalan ke tempat berkenaan tidak boleh dilalui oleh kenderaan, kecuali kenderaan besar atau sampan. Melalui bantuan penduduk kampung yang diusahakan oleh Akhi Masiri, kami bergerak menggunakan Ford Ranger dan lori….Satu lagi pengalaman baru….meredah lautan banjir nan luas terbentang menaiki Ford Ranger seolah-olah berada di atas bot…Seram sejuk juga takut-takut tersilap laluan kerana di kiri-kanan jalan ialah kawasan parit yang tidak dapat dibezakan dengan jalan, terutama bagi orang luar seperti kami…

Alhamdulillah, akhirnya kami saya dan team yang ditugaskan ke Parit Jayos 4 selamat sampai ke destinasi. Kami disambut mesra oleh penghuni penempatan sementara di situ. Mereka keluar dari dewan beramai-ramai dan bersalaman dengan rombongan kami seramai 7 orang….Saya merasai kelainan cara sambutan mereka ini . Amat berbeza sekali dari tempat-tempat yang kami pergi sebelum ini…Hal ini diakui oleh ahli rombongan yang lain. Saya menjelaskan kepada mereka, inilah sebahagian dari amalan hidup masyarakat jawa kampung. Kerana saya juga anak jawa kampung dari Teluk Intan, menantu kepada Orang Jawa Pontian yang mempunyai ramai kerabat jawa di BP…Sekadar memberi gambaran untuk catatan berikutnya…
Pengalaman menDERU sebelum ini menjadikan saya dan K.Yasmin tidak kekok untuk beramah mesra dengan kaum ibu dan anak-anak kecil disamping mengedarkan ‘jajan’ yang dibawa..ternyata mereka begitu gembira sekali. Mereka juga menceritakan, jajan yang dibawa oleh team JIM semalam termasuk belonbenar-benar menceriakan kanak-kanak setelah kebosanan sekian lama. Inilah juga pengalaman menDERU kami di tempat-tempat lain…

Pada masa yang sama Dr Hishamudin menghiburkan kanak-kanak dengan multimedianya walaupun tanpa LCD…begitulah kreatifnya beliau. Ikhwah yang lain berbual-bual dengan para bapa di luar dewan…

Kebolehan bertutur dalam bahasa jawa dengan baik memudahkan saya berkomunikasi dengan PIC tempat berkenaan, Pn Kalsom (Ida)….Saya merisik-risik keperluan yang benar-benar mendesak. Pada mulanya Pn Kalsom keberatan untuk bercerita keadaan sebenar, beliau sekadar megucapkan Alhamdulillah semua cukup. Tetapi berkat ‘kejawaan’ saya berjaya mendapatkan cerita sebenar…Mereka hanya makan 2 kali sehari, tengahari dan malam. Bila saya tanya sarapan macamana? Beliau kata ikut apa yang ada, kalau ada biskut makan biskutlah…

Masa itu saya terpandang rak penyimpanan barang makanan lantas mata saya terpana seketika kerana melihat sebungkus biskut sahaja yang tinggal….sayunya rasa di hati dan merasa amat bersalah kerana tidak mendapat maklumat ini sebelumnya…itulah antara kesilapan yang telah team kami lakukan…

Saya bertanya lagi tentang lauk…Pn Kalsom kata Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak, semalam JIM datang bawa sardin. Itulah kali pertama jumpa sardin sejak di sini. Terlintas di dalam hati, anak-anak di rumah tak suka makan sardin tapi mereka di sini mengganggap ia makanan mewah! Saya bertanya lagi, sebelum ni macam mana. “Apa-apa yang adalah” jawabnya…”selalunya ikan”, sambung beliau lagi. Tidak terfikir untuk bertanya di mana mereka dapat sumber ikan. Tetapi jawapan itu saya perolehi pagi ini apabila saya sengaja menelepon Pn Kalsom bertanyakan khabar …”Tengah pasang pukat cari ikan kak”, jawapan itu meruntun seluruh jantung saya….

Terbayang kembali kedaifan mereka semalam dengan catuan makanan setiap hari, tidak seperti di pusat penempatan lain yang telah kami lawati sebelum ini…

Apa yang lebih mengharukan saya ialah peristiwa sebelum kami meninggalkan mereka petang semalam….Menu makan malam sedia terhidang dengan ayam masak kicap (menu tradisi jawa) dan tumis kobis. Pertama kali jumpa lauk ayam, kata mereka… itupun di potong kecil-kecil. Saya mewakili team (sebab boleh ngomong jowo), cuba menolak pelawaan mereka untuk makan malam sebelum bertolak pulang, dengan alasan yang baik….kami pun tak sampai hati untuk makan sebenarnya. Tetapi apabila dipujuk berkali-kali oleh Pn Kalsom dan sebagai orang jawa kampung saya memahami kalau tidak makan seolah-olah kita tidak sudi tambahan pula mereka memang mengutamakan tetamu..satu amalan yang cukup baik dalam masyarakat jawa kampung.  Akhirnya saya memberitahu ahli rombongan supaya menjamah ala kadar sebagai tanda penghargaan kepada tuan rumah….

Selepas selesai makan malam ala kadar, kami meminta izin untuk pulang, sekali lagi menaiki kenderaan yang sama.. Saya dimaklumkan oleh pemandu Ford Ranger (lupa pulak nama sebab masih terkedu dengan kedaifan mereka) bahawa kenderaan itu diwakafkan oleh abangnya yang memili 3 buat kenderaan sedemikian, untuk kegunaan membantu penduduk sepanjang masa banjir…Allahu Akbar! Masih ada rupanya manusia yang berjiwa murni di tengah lautan manusia yang rakus…Lantas saya beritahu kepada adik ini untuk disampaikan kepada abangnya, “Kami mendoakan semuga terus berjaya dalam bisnes dan juga kehidupan, berkat menolong orang kampung yang ditimpa kesusahan…Besar pahalanya dik”, ujar saya lagi.

Sementara menunggu team yang satu lagi sampai ke tempat kami meletakkan kereta, sempat kami ngeteh di warung En Ismail…ye lah takkan nak duduk-duduk saje kat warung tu kan…tak sedap pulak…Sambil itu sempat juga bersembang-sembang dengan penduduk kampung yang sedang ngeteh sama. Saya ada berbual-bual dalam bahasa jawa dengan salah seorang wak di situ…rupanya didengari oleh tuan punya warung…Hajat hati nak belanja semua orang di warung petang tu…Bila saya nak bayar, berkeras dia tidak mahu menerima, ikhlas katanya dia belanja team kami hari ini…sekali lagi saya terkedu…walaupun rumahnya juga dilanda banjir, masih mahu menyumbang dan merebut peluang beramal apa yang dia mampu.…Lalu dia berbual-bual dengan saya kerana dari bahasa jawa yang saya gunakan, dia boleh mengagak bukan jawa BP. Akhirnya baru tahu, beliau ni orang kampung sebelah di Teluk Intan! Alahai…kecilnya dunia….Sebelum bertolak ke JB berkali-kali beliau berpesan, kalau lalu di situ jangan lupa singgah ke warungnya….

Kami berangkat pulang ke JB seketika sebelum masuk waktu maghrib. Kami ‘terpilih’ laluan mengikut Simpang Lima, bermakna akan melalui KUITTHO yang dikhabarkan sedang dilanda banjir….Cuma kami dimaklumkan sebelum ini jalan utama di depan KUITTHO tidak banjir kerana kedudukannya yang agak tinggi berbanding bangunan KUITTHO yang rendah…

Sampai di Parit Yani, sebelah jalan ditutup kerana banjir. Kami tiada pilihan…melihat kenderaan yang bergerak di hadapan kami agak konfiden…Betul- betul satu cabaran…Dalam misi-misi sebelum ini kami memilih laluan yang tiada banjir. Hari ini meredah banjir…Dalam hati Allah saja yang tahu melihat aliran air mulai deras. Pada mulanya kami bercadang untuk solat maghrib di salah sebuah masjid di situ. Melihat keadaan sedemikan, kami memutuskan untuk melepaskan diri dari banjir terlebih dahulu…takut terperangkap dek air yang semakin naik…Alhamdulillah, lega bila kami akhirnya sampai ke Air Hitam….terlepas dari kawasan banjir…

Kami berhenti solat maghrib/Isyak di Machap..Selepas solat didapati van Akhi Zaidon tidak boleh dihidupkan, enjin dimasuki air…Alhamdulillah ada pakar-pakar Fizik dan Mekanikal bersama, Akhi Abdul Rashid dan Dr Hishamudin di samping nasihat pakar, Dr Tholudin secara on line…akhirnya van berjaya dihidupkan…Apa yang lucunya selepas itu, kami yang menaiki Inova Dr Hishamudin bimbang akan pergerakan van Akhi Zaidon..Lalu kami mengekori dari belakang. Akhirnya kami yang tertinggal jauh di belakang…”Hebatnya”, kata Dr Hishamudin. “Ana bawa 120 km/j ni tak boleh kejar dia…ni mesti dapat power baru ni”!!

Kami sampai semula di Pejabat Operasi sekitar 10.30 malam. Walaupun kepenatan, digagahkan juga kaki menaiki tingkat 2 pejabat JIM untuk membuat laporan bagi tindakan hari berikutnya. Saya berpesan kepada Pengarah Pejabat Operasi, Akhi Zainal Sidi agar dapat diuruskan penghantaran daging ayam, tepung, biskut dan roti untuk misi keesokannya di tempat yang sama. Saya juga dimaklumkan bahawa team JIM N9 akan menghantar satu treler makanan ke BP esok.

Setelah laporan dibuat saya bergegas pulang. Terngiang-ngiang rungutan anak bongsu saya dalam telepon sebentar tadi. “Umi kata tak kemana-mana malam ni, kenapa balik lewat lagi”, nadanya sayu…Sejak banjir melanda, memang saya akui kerap lewat pulang bersama suami kerana menghadiri mesyuarat DERU..

Saya sampai di rumah hampir 11 malam. Rupanya anak-anak saya dibawa oleh suami melakukan solat hajat di UTM..Seketika kemudian mereka pulang…sempat lah menjenguk kerja rumah anak bongsu yang meminta perhatian sebelum dia tidur lena malam itu…..Hilang sedikit rasa bersalah tadi…

Malam itu saya tidur dengan satu kepuasan walaupun memang keletihan yang amat sangat…Menyumbang sedikit apa yang kita ada di kala mereka sangat memerlukan.. Benarlah kata mereka yang pernah menDERU…”Sekali kita turun menDERU, kita akan rasa ingin terus menDERU kerana merasai akan kenimatannya tetapi bagi yang tidak pernah menDERU, mereka tidak akan merasai apa-apa pun”….

Ayuh, ikhwah/akhawat, rasailah kemanisan menDERU…Jangan tangguh lagi….Banjir tidak akan menunggu kita..Peluang mungkin hanya datang sekali….DERU jangan tak DERU!!

Create a free website at Webs.com